Kesilapan senarai pemain: Kuching City didenda RM30,000, keputusan perlawanan kekal

Kesilapan senarai pemain: Kuching City didenda RM30,000, keputusan perlawanan kekal

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan berlaku kesilapan teknikal dalam penyediaan senarai pemain bagi perlawanan Liga Super membabitkan antara Penang FC dan Kuching City FC di Stadium Bandaraya pada 15 Mac lalu.

MFL dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu selepas penelitian menyeluruh dibuat menerusi laporan lengkap daripada kedua-dua pasukan, pegawai perlawanan, komisioner perlawanan (MC), koordinator perlawanan (GC) dan pegawai keempat (P4).

Hasil siasatan mendapati pemain Kuching City FC, Scott Philip Woods tidak ditandakan dalam senarai pemain oleh MC walaupun telah didaftarkan sebagai pemain simpanan oleh kelab tersebut.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati MC, GC dan P4 gagal menjalankan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan pemain di dalam bilik persalinan mengikut ketetapan.

“Malah, pertukaran pemain pada minit ke-90+6 dibenarkan oleh GC dan P4 tanpa semakan menyeluruh, sekali gus menyebabkan pemain yang tidak tersenarai secara rasmi telah diturunkan,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Susulan kegagalan pematuhan Peraturan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP) Liga Malaysia 2025-2026 tersebut, MFL memutuskan Kuching City FC dikenakan denda RM30,000 dan amaran keras atas kecuaian memastikan ketepatan maklumat.

Bagaimanapun, MFL mengesahkan keputusan perlawanan yang memihak kepada Kuching City FC dengan kemenangan 1-0 ke atas Penang FC adalah kekal.

Dalam masa sama, tindakan tegas turut diambil terhadap pegawai perlawanan yang terlibat di mana MC dikenakan hukuman gantung tugas selama 12 bulan, termasuk enam bulan fasa pemulihan.

GC pula digantung tugas selama enam bulan, manakala tindakan susulan ke atas P4 adalah tertakluk kepada keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sebagai rekod, insiden pelanggaran OTP yang hampir sama pernah berlaku melibatkan aksi Kelantan FC menentang Negeri Sembilan FC pada 2021 dan perlawanan Piala MFL antara Penang FC II menentang Terengganu FC II pada 2024.

Dalam kedua-dua kes tersebut, MFL mengekalkan keputusan perlawanan namun mengenakan denda serta hukuman gantung terhadap pegawai perlawanan yang terlibat.

MFL menegaskan bahawa semua pihak termasuk kelab dan pegawai perlawanan bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan prosedur pertandingan dipatuhi.

“Sebarang kecuaian yang menjejaskan integriti pertandingan tidak akan dikompromi dan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan standard profesional Liga Malaysia sentiasa terpelihara,” tegasnya.

Scroll to Top