
Itali enggan memberi kebenaran kepada tentera AS untuk menggunakan lapangan terbang tentera Sigonella sebagai pusat persinggahan bagi penerbangan seterusnya ke Asia Barat. Foto Reuters
ROM – Itali enggan membenarkan beberapa pesawat Amerika Syarikat (AS) mendarat di sebuah pangkalan di pulau Sicily, Mediterranean bagi operasi berkaitan perang menentang Iran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menteri Pertahanan, Guido Crosetto baru-baru ini enggan memberi kebenaran kepada tentera AS untuk menggunakan lapangan terbang tentera Sigonella sebagai pusat persinggahan bagi penerbangan seterusnya ke Asia Barat, menurut laporan akhbar harian Corriere della Sera.
Sumber yang rapat dengan kementerian di Rom telah mengesahkan laporan tersebut, menurut akhbar itu.
Itali hanya dimaklumkan mengenai rancangan AS itu selepas pesawat berkenaan sudah pun dalam perjalanan dan tiada kebenaran awal dipohon, malah Itali sebagai rakan kongsi NATO juga tidak dimaklumkan terlebih dahulu, lapor agensi itu.
Butiran mengenai jenis penerbangan yang terlibat bagaimanapun tidak jelas.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni secara umumnya mengekalkan hubungan kerja yang kukuh dengan Presiden AS, Donald Trump.
Selepas tercetusnya perang di Iran, Meloni menyatakan bahawa AS boleh menggunakan pangkalan tentera Itali di bawah perjanjian sedia ada, namun beliau menafikan sebarang penglibatan lanjut dalam konflik berkenaan.
Berdasarkan tinjauan pendapat baru-baru ini, sebahagian besar rakyat Itali menentang peperangan tersebut.
Pangkalan udara Sigonella, yang terletak berhampiran Catania di timur Sicily, menempatkan pangkalan Tentera Udara Itali dan pangkalan Tentera Laut AS. Lokasi itu turut digunakan oleh NATO, pakatan pertahanan Barat. – Bernama-dpa
Ringkasan AI
- Itali enggan benarkan pesawat AS mendarat di Sicily untuk operasi perang menentang Iran.
- Menteri Pertahanan Guido Crosetto tidak beri kebenaran guna lapangan tentera Sigonella.
- Itali tidak dimaklumkan terlebih dahulu dan tiada kebenaran awal dipohon oleh AS.
- Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni kekalkan hubungan kukuh dengan Presiden AS, Trump.
- Sebahagian besar rakyat Itali menentang peperangan di Iran.



