Lukaku hilang dari latihan, Napoli pertimbang tindakan

Lukaku hilang dari latihan, Napoli pertimbang tindakan

Naples: Penyerang Napoli, Romelu Lukaku berdepan kemungkinan dikenakan tindakan disiplin selepas gagal hadir ke sesi latihan walaupun sudah menarik diri daripada tugasan antarabangsa kerana kecederaan.

Kelab juara Serie A itu mengesahkan pemain berusia 32 tahun berkenaan tidak memberi respons selepas dipanggil kembali ke pusat latihan, sekali gus mencetuskan kontroversi mengenai komitmennya.

“Napoli boleh mengesahkan Romelu Lukaku tidak memberi respons kepada panggilan untuk kembali menjalani latihan hari ini.

“Kelab berhak mempertimbangkan tindakan disiplin serta menentukan sama ada dia akan terus berlatih bersama pasukan,” menurut kenyataan kelab.

Lukaku sebelum ini menarik diri daripada skuad Belgium bagi aksi pemanas badan Piala Dunia menentang Amerika Syarikat dan Mexico, dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada pemulihan kecergasan.

Bagaimanapun, media Itali melaporkan dia memilih untuk menjalani rehabilitasi di Belgium dan enggan kembali ke Napoli, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depannya bersama kelab itu.

Penyerang itu tampil mempertahankan keputusannya, menjelaskan dia masih berdepan masalah kecederaan di bahagian pinggul yang belum pulih sepenuhnya.

“Sejujurnya, beberapa minggu terakhir saya tidak berada pada tahap fizikal terbaik. Pemeriksaan menunjukkan ada keradangan pada otot pinggul berhampiran tisu parut.

“Saya memilih untuk jalani pemulihan di Belgium supaya saya benar-benar bersedia apabila diperlukan,” katanya.

Lukaku turut menegaskan dia tidak pernah berniat membelakangkan Napoli.

“Saya tidak akan pernah berpaling daripada Napoli. Saya mahu bermain dan menang bersama pasukan, tetapi sekarang saya perlu pastikan saya pulih 100 peratus,” katanya.

Lukaku yang menjaringkan 14 gol musim lalu bagi membantu Napoli muncul juara, kini bergelut dengan prestasi apabila hanya meledak satu gol dalam lima penampilan sejak kembali daripada kecederaan pada Januari.

Napoli ketika ini berada di tangga ketiga liga, tujuh mata di belakang pendahulu Inter Milan dan bakal berdepan AC Milan Isnin ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top