
Gazprom berkata paras simpanan gas asli Kesatuan Eropah berada pada paras sangat rendah. Foto Agensi
ISTANBUL – Syarikat tenaga Rusia, Gazprom pada Isnin berkata paras simpanan gas asli Kesatuan Eropah (EU) berada pada paras sangat rendah, walaupun diminta oleh Suruhanjaya Eropah untuk memulakan pengisian semula kemudahan secepat mungkin, lapor Anadolu Ajansi.
Memetik data Gas Infrastructure Europe setakat 28 Mac, Gazprom memaklumkan tahap storan EU ialah 28 peratus penuh dan pengeluaran masih diteruskan di seluruh bahagian blok itu.
Menurut syarikat itu, Austria, Belgium, Bulgaria, Hungary, Itali, Belanda, Poland, Romania, Slovakia, Croatia, Republik Czech dan Sweden masih mengeluarkan gas daripada kemudahan penyimpanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Gazprom, Alexey Miller berkata rizab gas dalam kemudahan simpanan EU boleh disifatkan sebagai “rendah untuk Eropah moden,” sambil menambah bahawa inventori berjumlah 33.5 peratus pada tarikh yang sama pada 2025 dan 58.7 peratus pada 2024.
Beliau juga berkata, tapak penyimpanan di Jerman, Perancis dan Belanda, yang merupakan antara pengguna gas terbesar EU, hanya 17.4 peratus penuh secara purata, manakala kemudahan penyimpanan gas bawah tanah Belanda hanya memegang 5.3 peratus kapasiti setakat 28 Mac, yang menurut Gazprom mencatatkan rekod terendah.
Miller memberi amaran bahawa rizab dalam fasiliti penyimpanan gas bawah tanah Eropah mungkin tidak mencapai 70 peratus menjelang permulaan musim pengeluaran seterusnya, selain suhu yang lebih sejuk daripada biasa minggu lepas di beberapa kawasan utama yang menggunakan gas di benua Eropah telah meningkatkan permintaan. – Bernama-Anadolu
Ringkasan AI
- Gazprom melaporkan paras simpanan gas EU sangat rendah.
- Tahap storan EU hanya 28 peratus penuh sehingga 28 Mac.
- Austria dan negara lain masih mengeluarkan gas daripada simpanan.
- Penyimpanan di Jerman, Perancis dan Belanda hanya 17.4 peratus penuh.
- Gazprom menjangka rizab mungkin tidak capai 70 peratus menjelang musim seterusnya.



