Nourul Deep dedah individu misteri minta batal konsert

Nourul Deep dedah individu misteri minta batal konsert

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi, Noorulhuda Abdul Wahab, 49, atau Nourul Deep mendedahkan didatangi oleh seorang individu yang memintanya membatalkan konsert For You Nourul yang dirancang sebelum ini.

Nourul yang kini menetap di Bali berkata, perkara itu berlaku sewaktu dia pulang meraikan Aidilfitri, baru-baru ini.

“Ada hamba Allah ini datang suruh saya batalkan konsert ini sebab dia mahu buat sesuatu yang lain untuk saya. Dia kata batalkan konsert awak ini.

“Jadi saya kata macam mana saya mahu batalkan? Dia jawab dia ada ‘proposal’ (cadangan) yang sangat kukuh. Dia cakap kepada saya awak kena batal. ‘Awak buat dengan saya di sini kita buat di Axiata (Arena) terus besar’.

“Bagi saya sudah tentu itu peluang. Saya kata boleh, tetapi saya kena teruskan dengan For You ini bukan sebab ego, tetapi sebab saya ada rancangan sendiri untuk persembahan itu,” katanya pada sidang media konsert berkenaan, semalam.

Nourul yang popular dengan lagu Kerana Terluka berkata, dia bagaimanapun menolak tawaran itu kerana mempunyai prinsip dalam hidup.

“Saya tidak rasa ralat sebab saya ada matlamat dan sasaran saya. Benda sudah berjalan. Saya sudah ada pasukan perhubungan awam (PR), pasukan produksi dan pasukan pemuzik sendiri yang sudah dibayar semuanya.

“Peninglah mereka nanti. Perjalanan itu tidak cantik. Memang betul orang itu akan bayar balik semua kos tetapi saya tidak akan dapat buat apa yang saya mahu. Saya tidak akan dapat jadi diri saya.

“Saya perlu jadi diri sendiri. Buat apa saya belajar ilmu mencari diri, tetapi tidak digunakan dalam konsert ini. Sebab itulah saya guna tajuk konsert For You sebab mahu tunjuk itu untuk peminat dan ini juga untuk saya,” katanya.

Terdahulu, konsert yang sepatutnya berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 April ini terpaksa ditunda ke tarikh baharu iaitu 30 Mei depan. Penundaan itu akibat masalah peribadi penganjur asal dan kini diteruskan menerusi syarikat milik Nourul sendiri.

“Penganjur itu tidak tipu saya. Niat dia baik dan dia sangat baik. Dia peminat saya. Arwah ibunya pun minat saya. Tetapi dia ada masalah peribadi yang lain, rakan kongsi dia menipunya.

“Dia memang okey tetapi dia ada masalah peribadi yang tidak dapat hendak dielakkan. Dia memang minta maaf kepada saya sangat-sangat. Dan tiket yang sudah terjual bawah syarikatnya, diberikan kepada saya,” katanya.

Sementara itu, menerusi sidang media ini, penyanyi Mimi Fly diumumkan sebagai artis undangan konsert For You Nourul.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top