PETALING JAYA: Kehebatan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira bukan sahaja dapat dibuktikan di atas trek namun atlet pecut muda negara itu turut cemerlang dalam pelajaran apabila memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semalam.
Atlet kelahiran Terengganu itu berkata, dia bersyukur dengan keputusan tersebut apabila segala usaha kerasnya selama ini nyata berbaloi.
“Alhamdulilah, keputusan yang saya peroleh ini amat mengembirakan. Saya bersyukur dan gembara kerana satu tahu betapa (sukar) perjalanan saya untuk peroleh keputusan tersebut. Pada masa sama saya perlu seimbangkan sukan saya.
“Alhamdulillah, saya mampu buktikan bahawa akademik dan sukan mampu bergerak seiring dan kedua-dua bidang ini mampu untuk kita peroleh kejayaan yang cemerlang,” katanya.
Izzatul sebelum ini mencuri tumpuan apabila berjaya memecahkan empat rekod kejohanan sekali gus memenangi empat pingat emas ketika beraksi Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 di Perlis.
Mengulas lanjut, Izzatul berkata, berbekalkan keputusan cemerlang itu dia mahu berbincang bersama keluarga dan individu terdekat bagi mengambil tindakan selanjutnya.
“Saya perlu teliti lagi pilihan yang ada untuk saya lanjutkan pelajaran tanpa mengetepikan karier sukan saya,” katanya.




