
Chengcheng ditinggalkan di sebuah hotel bersendirian lebih 2 minggu oleh ibunya gara-gara masalah kewangan.
ZHENGZHOU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditinggalkan bersendirian di sebuah hotel di wilayah Henan selama lebih dua minggu oleh ibunya.
Menurut laporan media tempatan, South China Morning Post, kanak-kanak yang dikenali sebagai Chengcheng itu mendaftar masuk ke hotel bersama ibunya, Yue, 25, pada Februari lalu.
Pada awalnya, wanita tersebut hanya keluar pada waktu malam dan kembali pada siang hari.
Bagaimanapun, keadaan berubah apabila dia didakwa tidak pulang langsung sejak Mac tanpa meninggalkan sebarang maklumat untuk dihubungi.
Sepanjang tempoh tersebut, Chengcheng tinggal bersendirian di dalam bilik hotel dan bergantung kepada kakitangan premis berkenaan untuk perhatian serta keperluan asas.
Difahamkan, kanak-kanak itu sering berbual dengan pekerja pembersihan, meminta pelukan dan menghabiskan masa dengan duduk di tepi tingkap sambil memandang ke luar.
Dalam satu detik yang menyentuh hati, Chengcheng dilaporkan bertanya kepada pembesar suara pintar di dalam bilik sama ada ia mempunyai ibu bapa sebelum meluahkan kerinduannya dengan berkata: “Saya mahu ibu saya kembali.”
Pada 24 Mac, Yue kembali ke hotel tersebut dan dipertemukan semula dengan anaknya.
Dia memohon maaf serta menjelaskan bahawa dia sedang sakit, bimbang akan menjangkiti anaknya selain beban hutang yang semakin meningkat telah mendorongnya meninggalkan kanak-kanak itu.
Disebabkan keadaan keluarga tersebut, persekutuan wanita tempatan dilaporkan menempatkan Chengcheng buat sementara waktu bersama sebuah keluarga angkat yang mempunyai keadaan kewangan lebih baik.
Ringkasan AI
- Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditinggalkan bersendirian di hotel di Henan selama lebih dua minggu oleh ibunya.
- Ibu kanak-kanak itu tidak pulang ke hotel sejak Mac dan tidak meninggalkan maklumat untuk dihubungi.
- Chengcheng bergantung kepada kakitangan hotel dan sering berbual dengan pekerja pembersihan.
- Ibu tersebut kembali ke hotel pada 24 Mac dan meminta maaf kerana meninggalkan anaknya.
- Chengcheng dipindahkan sementara ke keluarga angkat yang lebih stabil dari segi kewangan.



