Kecergasan Zii Jia jadi persoalan skuad negara

Kecergasan Zii Jia jadi persoalan skuad negara

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kecederaan ringan yang dialami pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia menimbulkan tanda tanya apabila dia masih belum dapat menyertai latihan bersama skuad kebangsaan menjelang kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pemain itu sepatutnya memulakan latihan hari ini, namun tidak dapat bersama-sama rakan lain susulan kecederaan yang dialaminya.

Katanya, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu maklum balas daripada kem Zii Jia berhubung bila pemain berkenaan boleh kembali menjalani latihan.

“Sepatutnya dia mula hari ini, tetapi dimaklumkan dia mengalami sedikit kecederaan ringan. Jadi kita masih menunggu bila dia boleh kembali. Buat masa ini memang belum ada pengesahan.

“Perancangan kita untuk Zii Jia bukan setakat Piala Thomas tetapi juga Sukan Asia 2026. Jadi kita mahu fokus bukan sahaja kepada acara berpasukan ini tetapi juga Sukan Asia agar dapat meraih pingat,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Selain itu, Zafrul mengakui ketiadaan bekas juara Seluruh England itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada perancangan pasukan, namun beliau percaya barisan kejurulatihan mempunyai pelan tersendiri.

“Dalam perbincangan saya dengan Kenneth dan juga Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara), Piala Thomas membabitkan beregu dan perseorangan.

“Mereka menyatakan kalau Zii Jia cergas sepenuhnya dan psikologinya berada pada tahap lebih meyakinkan, memang dia dapat membantu pasukan, tetapi kalau cedera, susah sedikit,” katanya.

Dengan perkembangan terkini itu, ia pasti memberi kesan terhadap perancangan pasukan sekiranya pemain kelahiran Kedah itu tidak berada pada tahap kecergasan terbaik.

Dalam pada itu, beliau tetap berpuas hati dengan perkembangan persiapan keseluruhan skuad negara menjelang kejohanan berprestij itu.

“Secara keseluruhan, saya lihat persiapan berjalan lancar. Jurulatih seperti Rexy dan Kenneth juga berpuas hati dengan perkembangan semasa. Kita juga akan mengadakan kem latihan pusat sebelum kejohanan bermula.

“Bagaimanapun, kita masih perlu memuktamadkan senarai 10 pemain bagi skuad Piala Thomas dan Piala Uber minggu depan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top