
IRGC memberi amaran tegas ia akan menyasarkan firma gergasi teknologi AS jika lebih ramai pemimpin Iran dibunuh musuh.
TEHERAN – Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memberi amaran tegas ia akan menyasarkan firma gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) jika lebih ramai pemimpin Iran dibunuh musuh.
“Syarikat seperti Apple, Google dan Meta akan menyaksikan kemusnahan unit berkaitan mereka sebagai pertukaran untuk setiap pembunuhan di Teheran pada Rabu,” ujarnya dalam satu kenyataan yang turut menyenaraikan 18 firma yang didakwa bersekongkol dengan kempen didalangi Washington bersama Israel.
IRGC enggan memberi muka kepada AS selepas Presiden Donald Trump kembali mengancam Iran walaupun pada mulanya beliau mahu menggunakan pendekatan ‘lebih lembut’ untuk menamatkan konflik tersebut.
“Washington bersama gergasi teknologi mereka terus mengabaikan amaran kami. Syarikat berkenaan merupakan elemen utama yang memberi akses kepada musuh untuk menjejaki para pemimpin kami yang gugur syahid sejak lebih sebulan lalu,” tegasnya.
Difahamkan, antara firma yang berdepan amaran keras itu ialah syarikat kenderaan elektrik, Tesla milik bilionair Elon Musk dan gergasi pengeluar cip, Nvidia.
“Syarikat yang terlibat secara aktif dalam rancangan keganasan akan berdepan tindakan balas setimpal bagi setiap pembunuhan bersasar,” ujar kenyataan itu lagi.
Sejak perang ganas itu bermula pada 28 Februari lalu, AS bersama Israel terus menyasarkan barisan kepimpinan tertinggi Iran hingga mencetuskan gelombang serangan balas agresif Teheran. – AFP
Ringkasan AI
- IRGC memberi amaran akan menyasarkan firma teknologi AS jika lebih ramai pemimpin Iran dibunuh.
- Apple, Google, dan Meta antara syarikat yang akan disasarkan dalam tindakan balas.
- Trump mengancam Iran walaupun ada pendekatan lebih lembut pada awalnya untuk menamatkan konflik.
- Syarikat Tesla dan Nvidia juga berdepan ancaman sebagai sebahagian kempen Washington dan Israel.
- Konflik bermula 28 Februari dengan serangan balas agresif oleh Teheran terhadap AS dan Israel.



