Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan tampil menjelaskan mengenai cadangan beliau iaitu berbasikal ke tempat kerja yang menjadi bualan ramai.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menegaskan ia hanyalah sesuai untuk mereka yang tinggal tidak jauh dari rumah masing-masing.
Menurutnya, individu yang memilih untuk berbasikal ke tempat kerja boleh berpakaian santai atau sukan.

Tambahnya, sekiranya berpeluh, mereka boleh mandi di pejabat sebelum menukar ke pakaian kerja.
“Jika berbasikal ke tempat kerja yang tidak berapa jauh dari rumah, elok berpakaian sukan atau santai.
“Jika berpeluh (sihat), boleh mandi di ofis dan baru tukar pakaian kerja. Ikut logik akal,”katanya.
Dalam hantaran yang sama, beliau turut menyifatkan amalan tersebut sebagai sesuatu yang biasa di negara maju.
Malah, ia juga dilihat sebagai pendekatan praktikal dan logik bagi perjalanan jarak dekat.
Terdahulu, beliau yang juga ahli Parlimen Pontian mencadangkan tujuh langkah bagi menangani kenaikan harga minyak susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat, termasuk menggalakkan penggunaan basikal bagi perjalanan jarak dekat.

Selain itu, beliau mencadangkan memperbanyakkan pengeluaran, penjualan dan penggunaan kenderaan elektrik (EV) seperti kereta, motosikal dan bas.
Malah, mengesyorkan supaya kajian serta pembinaan kilang biodiesel berasaskan kelapa sawit untuk kegunaan berskala besar dipertingkatkan.
Sumber: FB Ahmad Maslan




