Donnarumma menangis kenang nasib malang Itali

Donnarumma menangis kenang nasib malang Itali

London: Penjaga gol, Gianluigi Donnarumma menyuarakan kekecewaannya selepas kegagalan pasukannya layak ke Piala Dunia sekali lagi, dengan mengakui dia menangis sejurus tamat perlawanan.

Itali akan sekali lagi tidak beraksi di Piala Dunia musim panas ini selepas tewas dalam aksi playoff kepada Bosnia Herzegovina, yang berjaya mengesahkan tempat ke kejohanan di Amerika Utara menerusi kemenangan bersejarah itu.

Dalam penentuan sepakan penalti, Donnarumma — yang berdepan insiden dengan penjaga gol Bosnia, Nikola Vasilj — gagal menyelamatkan sebarang sepakan, manakala hanya Sandro Tonali berjaya menjaringkan gol untuk Itali.

Kegagalan ini menjadikan Itali sebagai bekas juara pertama yang terlepas tiga kejohanan berturut-turut, satu situasi yang memberi kesan mendalam kepada skuad termasuk Donnarumma.

“Semalam selepas perlawanan, saya menangis,” tulisnya di Instagram.

“Saya menangis kerana kecewa tidak dapat membawa Itali ke tahap yang sepatutnya.

“Saya menangis kerana kesedihan yang amat mendalam, bersama seluruh pasukan Azzurri, yang saya banggakan sebagai kapten, dan saya tahu pada saat ini, penyokong juga merasai perkara yang sama.

“Tiada banyak kata yang mampu diungkapkan sekarang. Namun saya rasa satu perkara yang kuat dalam diri saya: selepas kekecewaan besar ini, kita mesti mencari keberanian untuk bangkit semula.

“Untuk itu, kita perlukan kekuatan, semangat dan keyakinan.

“Sentiasa percaya; itulah kekuatan untuk terus mara ke hadapan. Hidup akan memberi ganjaran kepada mereka yang berusaha sepenuhnya tanpa berputus asa.

“Dan di sinilah kita perlu bermula semula. Bersama-sama. Sekali lagi. Untuk membawa Itali kembali ke tempat yang sepatutnya,” katanya lagi.

Donnarumma membuat penampilan sulung bersama Itali pada usia 16 tahun, namun kini beliau dijangka tidak akan beraksi di Piala Dunia sehingga sekurang-kurangnya berusia 31 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top