Beasley gesa pelumba negara bangkit semula

Beasley gesa pelumba negara bangkit semula

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah teknikal berbasikal negara, John Beasley dijangka mengambil peranan lebih aktif dalam program skuad trek kebangsaan susulan aksi mengecewakan di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Filipina yang berakhir, semalam.

Beasley mengakui sebelum ini dia mengambil langkah ke belakang bagi memberi ruang kepada barisan jurulatih diketuai Harnizam Basri memimpin pasukan, namun kegagalan mencapai sasaran utama memaksanya menilai semula pendekatan sedia ada.

Malaysia gagal memenuhi jangkaan apabila skuad elit negara hanya membawa pulang dua pingat perak menerusi acara pecut berpasukan wanita yang dibarisi Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Farid, sebelum Nurul Izzah menambah satu lagi perak dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa wanita.

Pencapaian itu jelas merosot berbanding edisi tahun lalu apabila skuad negara meraih dua emas, empat perak dan empat gangsa, selain menyaksikan Nurul Izzah gagal mempertahankan emas acara keirin yang dimenanginya sebelum ini.

“Saya sebelum ini memberi ruang kepada jurulatih untuk memimpin, tetapi berdasarkan apa yang kita lihat di Kejohanan Asia, kita perlu memberi penekanan lebih kepada analisis prestasi, penilaian perlumbaan dan pembangunan taktikal melalui video.

“Kami akan mengumpulkan semua jurulatih minggu depan untuk sesi penilaian penuh kerana terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki bagi merapatkan jurang,” katanya kepada BH Sukan.

Menurutnya, walaupun terdapat beberapa prestasi yang memberangsangkan, masih ada yang tidak mencapai standard program berprestasi tinggi.

“Ada persembahan yang baik, tetapi ada juga yang di bawah jangkaan. Atlet perlu bertanggungjawab terhadap prestasi masing-masing dan perlu meningkatkan komitmen serta etika kerja.

“Peluang di peringkat ini perlu diperoleh, bukan diberi, dan tahap akauntabiliti dalam program ini perlu dipertingkatkan,” katanya.

Mengulas prestasi Nurul Izzah, Beasley menyifatkan pelumba itu mempamerkan aksi konsisten walaupun belum mencapai tahap terbaik.

“Izzah beraksi baik di kejohanan ini dengan meraih pingat perak dalam pecut berpasukan, naib juara acara 1km ujian masa dan menamatkan saingan di tempat keempat bagi acara pecut.

“Dia masih belum berada di tahap prestasi puncak, namun peningkatan ditunjukkan adalah sesuatu yang memberangsangkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top