PARIS – Pakatan di bawah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kian goyah selepas Perancis bersama Itali menyertai Sepanyol menolak untuk membantu operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang kini kehilangan hala tuju.
Perpecahan dalam blok Barat itu semakin terserlah selepas Presiden Donald Trump secara lantang mengutuk sekutu Washington di Eropah hanya kerana enggan terlibat kempen pencerobohan ke atas Iran yang sudah berlarutan lebih sebulan.
Pada awal bulan lalu, Trump selamba menggelar sekutu lama NATO sebagai ‘pengecut’ kerana kegagalan mereka menyokong operasi ketenteraan tersebut yang telah menghuru-harakan seluruh dunia.
Pemimpin Republikan itu pada Selasa sekali lagi meluahkan kemarahannya menerusi platform Truth Social atas keengganan Perancis memberikan akses ruang udaranya kepada Israel bagi memindahkan senjata AS untuk kegunaan perang di Teheran.
“Paris tidak memberikan kerjasama yang diharapkan. Washington akan mengingati tindakan ini,” rungut Trump.
Terdahulu, diplomat Barat dan dua sumber rapat mendakwa Perancis menzahirkan pendirian tegas mereka pada akhir minggu lalu dan ia merupakan kali pertama Paris berbuat demikian sejak konflik di Asia Barat meletus pada 28 Februari lalu.

Itali tidak memberi kebenaran kepada pesawat tentera AS untuk mendarat di pangkalan tentera udara Sigonella di Sicily sebelum ia menuju ke Asia Barat.
Pada minggu lalu, Itali juga tidak memberi kebenaran kepada pesawat tentera AS untuk mendarat di pangkalan tentera udara Sigonella di Sicily sebelum ia menuju ke Asia Barat.
Corriere della Sera melaporkan pangkalan itu sepatutnya menjadi ‘lokasi persinggahan’ beberapa jet pengebom berkenaan.
“Washington didakwa tidak memohon kelulusan dan memaklumkan kepada kepimpinan tentera di Rom terlebih dahulu seperti yang diwajibkan di bawah perjanjian yang mengawal penggunaan kemudahan ketenteraan AS di negara itu,” jelas laporan berkenaan.
Tidak gentar
Sementara itu, Sepanyol antara negara Eropah yang paling lantang mengecam dan menolak campur tangan dalam konflik tersebut.
Madrid dengan tegas menyatakan ia telah menutup ruang udara negara berkenaan kepada pesawat AS yang terlibat dalam kempen pencerobohan ke atas Iran.
“Kebenaran hanya akan diberikan untuk tujuan ‘pertahanan kolektif’ sekutu NATO,” ujar Menteri Pertahanan, Margarita Robles.

Trump gagal menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk mengarahkan negara anggota NATO mengikut telunjuknya.
Sepanyol juga tidak gentar dengan sebarang tindak balas AS seperti dinyatakan Menteri Luar, Jose Manuel Albares menerusi wawancara bersama stesen penyiar TVE.
“Kami langsung tidak takut apa-apa. Bagaimana mungkin sesebuah negara berasa cemas hanya kerana menegakkan undang-undang antarabangsa, keamanan dunia dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)? Dunia apakah ini jika pihak yang menghormati undang-undang pula berasa sedemikian?” katanya.
Trump juga bertindak ‘menyerang’ Britain kerana tidak membantu kempen pencerobohan tersebut meskipun Istana Buckingham mengesahkan kunjungan Raja Charles III bersama Permaisuri Camilla ke AS pada akhir bulan ini.
“Kesemua negara yang tidak dapat memperoleh bahan api jet akibat penutupan Selat Hormuz seperti London yang enggan terlibat dalam usaha menjatuhkan Iran. Saya ada cadangan untuk anda: pertama, beli dari AS kerana kami mempunyai bekalan yang mencukupi dan kedua, kumpulkan sedikit keberanian, pergi ke selat itu serta ambil sahaja minyak di sana,” sindirnya di platform Truth Social.
Konflik dalaman NATO ini menunjukkan bahawa walaupun pakatan ketenteraan besar wujud, keputusan berani tetap bergantung kepada negara anggota sendiri.
Perbezaan pendapat dalam blok Barat semakin jelas apabila setiap negara mengutamakan kepentingan masing‑masing atas kebimbangan terhadap kemungkinan tindak balas agresif daripada Iran. – Agensi
Ringkasan AI
- Pakatan NATO goyah apabila Perancis, Itali, dan Sepanyol menolak menyokong operasi AS dan Israel.
- Presiden Trump mengutuk sekutu NATO kerana enggan terlibat dalam pencerobohan Iran.
- Perancis menolak memberikan ruang udara kepada Israel, manakala Itali menghalang pendaratan pesawat AS di Sicily.
- Sepanyol menutup ruang udara kepada pesawat AS dan menegaskan hanya memberi kebenaran untuk tujuan pertahanan kolektif.
- Trump juga mengkritik Britain dan menyeru negara yang terjejas untuk membeli minyak dari AS.



