Capello selar kegagalan Itali ke Piala Dunia

Capello selar kegagalan Itali ke Piala Dunia
Capello selar kegagalan Itali ke Piala Dunia

Itali gagal ke Piala Dunia tiga kali berturut-turut. Foto AFP

BEKAS pemain Itali, Fabio Capello menyifatkan kegagalan skuad kebangsaan pasukan melayakkan diri ke Piala Dunia sebagai satu perkara yang memalukan selain mengkritik sikap tidak bertanggungjawab dalam kepimpinan persekutuan bola sepak negara itu.

Krisis yang melanda skuad Azzurri kini mencapai tahap terendah selepas terlepas slot ke kejohanan berprestij itu buat kali ketiga berturut-turut, sekali gus mencetuskan kemarahan peminat di seluruh negara.

Capello yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya melabelkan situasi tersebut sebagai satu tragedi sukan susulan kekalahan mengejut menerusi penentuan penalti kepada Bosnia.

Beliau mengakui tidak dapat tidur lena selepas kekalahan itu dan masih sukar untuk memproses apa yang berlaku terhadap pasukan gergasi Eropah tersebut.

Bagi jurulatih legenda itu, fasa ini merupakan antara detik paling gelap dalam sejarah moden bola sepak Itali.

Untuk rekod, Itali tidak beraksi di pentas Piala Dunia sejak edisi 2014 dan hanya berpeluang untuk kembali seawal tahun 2030.

Keadaan itu bermakna, satu generasi peminat bola sepak di negara berkenaan membesar tanpa melihat juara dunia empat kali itu beraksi di pentas terbesar dunia.

Capello turut menuding jari kepada barisan kepimpinan tertinggi, mempersoalkan ketiadaan akauntabiliti selepas kegagalan berulang kali.

Beliau secara khusus menyelar Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina yang memegang jawatan sejak 2018.

Meskipun Gravina memacu Itali menjuarai Euro 2020, namun beliau dilihat gagal menangani kemerosotan prestasi pasukan itu.

“Tiada siapa yang mahu meletakkan jawatan di sini, dan itulah perkara yang paling membimbangkan,” tegas Capello.

Di sebalik krisis yang kian meruncing, Gravina dilaporkan tetap memberi sokongan kepada Gennaro Gattuso untuk terus membimbing pasukan sebagai ketua jurulatih, dengan keputusan muktamad dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Ringkasan AI

  • Fabio Capello menyifatkan kegagalan Itali ke Piala Dunia sebagai memalukan dan kritik kepimpinan.
  • Skuad Azzurri gagal ke kejohanan berprestij untuk kali ketiga berturut-turut.
  • Capello tidak dapat menerima kekalahan mengejut kepada Bosnia menerusi penalti.
  • Itali tidak beraksi di Piala Dunia sejak 2014 dan mungkin kembali pada 2030.
  • Capello kritik Presiden FIGC, Gabriele Gravina setelah kegagalan berulang kali.
Scroll to Top