Polis rampas daging ayam tanpa sijil halal, karkas babi bernilai RM1.5 juta

Polis rampas daging ayam tanpa sijil halal, karkas babi bernilai RM1.5 juta

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis merampas 34 tan karkas daging babi dan 97 kotak daging ayam sejuk beku tanpa sijil halal bernilai RM1.5 juta dalam tiga serbuan serentak di tiga buah premis di Kampung Baru Subang, Selangor, semalam.

Operasi bersepadu dijalankan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam, (JKDNKA) Bukit Aman.

Komander WCB/PSK, Senior Asisten Komisioner Mohd Zaki Ashar berkata, operasi dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi antaranya, Jabatan Veterinar, Kementerian Kesihatan, Jakim, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, KPDN, LHDN, Maqis dan Kastam.

“Turut disita, tiga buah alat penimbang dan tiga buah lori satu tan. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1.9 juta.

“Seramai 32 individu berusia antara 22 hingga 59 tahun termasuk tiga pemilik dan pengurus syarikat juga ditahan untuk membantu siasatan,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

“Kompaun turut dikeluarkan oleh beberapa agensi terlibat atas pelbagai kesalahan.

“Operasi ini berjaya memutuskan rangkaian sindiket penyeludupan, pengedaran dan penjualan makanan sejuk beku yang dikesan bergerak aktif di Lembah Klang,”katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top