'Saya mahu bantu supaya tiada lagi pelajar ketinggalan hanya kerana tiada komputer riba' – Boss A

'Saya mahu bantu supaya tiada lagi pelajar ketinggalan hanya kerana tiada komputer riba' – Boss A

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Cheras: “Saya bukan nak menjual dan menyumbang saja tapi mahu beri harapan untuk orang di luar sana bangkit semula dan teruskan perjalanan.

“Impian saya adalah bantu lebih ramai orang di luar sana dan lihat tiada lagi pelajar di negara ini yang ketinggalan hanya kerana tiada komputer riba,” kata Ivan Khong.

Ivan, 30, atau dikenali Boss A dalam kalangan pengikut di media sosial menarik perhatian di TikTok kerana sering menyantuni pelajar sekolah selain memberi sumbangan komputer riba khususnya buat mereka yang kurang berkemampuan.

Berkongsi kisahnya, Ivan yang juga usahawan komputer terpakai berkata, apa dikongsikan itu bukan sekadar satu bahan atau ‘content’ untuk mengumpul pengikut dan dikenali di media sosial.

Sebaliknya, Ivan yang menjana pendapatan RM1 juta pertama ketika berusia 24 tahun terpanggil untuk membantu golongan kurang bernasib baik kerana dia juga datang daripada keluarga B40 yang tiada kemampuan membeli komputer riba baharu ketika di bangku sekolah.

“Waktu sekolah dulu, saya cemburu tengok rakan yang ada komputer di rumah dan bermain permainan video.

“Keluarga saya tak mampu kerana ayah pemandu lori dan emak pula tukang jahit…jadi setiap kali hujung minggu, saya akan ke rumah kawan untuk tumpang bermain permainan video.

“Kini saya sudah bergelar usahawan dan bila berjumpa dengan murid dan pelajar B40, terus teringat kenangan waktu kecil dulu. Tersentuh juga bila tengok riak wajah mereka yang sebak ketika terima komputer riba pemberian saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di ibu pejabat syarikatnya, SCE Distributor Sdn Bhd dekat Kawasan Perindustrian Budiman, di sini.

Menurut Ivan, sehingga kini, sudah lebih 1,000 komputer riba disumbangkan kepada murid dan pelajar sekolah sejak dua tahun lalu.

Lazimnya, Ivan akan mendapatkan maklumat daripada ibu bapa pelajar dan menyampaikan sumbangan secara terus kepada penerima atau menerusi pihak sekolah.

“Sumbangan komputer riba itu disampaikan menerusi inisiatif ‘e-Dream Come True’ dengan harapan murid juga pelajar daripada keluarga B40 dapat komputer riba berkualiti.

“Apa saya lakukan ini juga seiring dengan inisiatif ‘Go Green World’ diketengahkan syarikat iaitu menjual dan komputer riba terpakai bagi menyelamatkan bumi dengan mengurangkan kira-kira 10 hingga 20 peratus sisa elektronik (e-waste).

“Kini, saya dapat menyumbang kira-kira 100 komputer riba dalam sebulan. Emak dan ayah masih ada, nampak mereka bangga tengok saya tolong ramai orang.

“Saya tak hebat pun malah sampai tahap ini sebab pengikut yang banyak bantu sokong perniagaan saya,” katanya yang pernah menimba pengalaman sebagai juruteknik dan jurujual komputer selepas tamat persekolahan sebelum bergelar usahawan.

Berhubung perniagaan diusahakan, Ivan mengakui banyak cabaran ditempuh sepanjang hampir sedekad menceburi bidang perniagaan.

Sampai satu tahap, Ivan pernah hampir berputus asa terutama ketika jualannya merosot selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tapi bangkit kerana sokongan insan sekeliling.

“Saya bermula di platform urus niaga dalam talian dengan bermodalkan duit pinjaman kad kredit.

“Saya tak pernah dipandang rendah cuma pernah malu sebab jual komputer riba terpakai kerana ada yang tanya sejauh mana ia masih berguna.

“Cabang perniagaan ini pun rumit kerana menuntut banyak komitmen dan perlu ada juruteknik ramai tapi minat buat saya bertahan sehingga sekarang,” katanya yang menjual kira-kira 6,000 unit komputer riba dalam sebulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top