KUALA LUMPUR – Malaysia Aviation Group (MAG) memberi jaminan bekalan bahan api penerbangan kumpulan itu kekal mencukupi sehingga hujung tahun ini walaupun industri berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, jaminan tersebut disokong komitmen pembekal bahan api di peringkat domestik dan antarabangsa bagi memastikan kelangsungan operasi penerbangan.
“Setakat ini, kontrak kami berada dalam keadaan stabil dan pembekal terus menyokong keperluan operasi sehingga akhir tahun.
“Dalam masa sama, kami turut menyesuaikan operasi termasuk mengoptimumkan pengisian bahan api di lokasi tertentu bagi mengurus kekangan bekalan,” katanya pada sidang media sempena Kemas Kini Prestasi Tahunan MAG pada Khamis.
Menurut beliau, ketidaktentuan bekalan bahan api global ketika ini memerlukan syarikat bertindak lebih proaktif termasuk melaraskan strategi operasi mengikut keadaan semasa.
“Kos bahan api dilihat meningkat ketara dengan komponen itu kini merangkumi hampir 40 peratus daripada keseluruhan kos operasi kumpulan. Lonjakan harga bahan api yang meningkat lebih 140 peratus dalam tempoh singkat memberi tekanan langsung kepada prestasi kewangan syarikat.
“Pergerakan harga bahan api sejak kebelakangan ini sangat ketara dan memberi kesan besar kepada kos operasi kami. Situasi ini memerlukan pendekatan yang lebih berhati-hati dalam pengurusan perbelanjaan dan operasi,” katanya.
Tambahnya, konflik di Asia Barat bukan sahaja mempengaruhi harga bahan api malah turut menjejaskan operasi penerbangan termasuk perubahan laluan dan tempoh perjalanan yang lebih panjang.
“Dalam tempoh sebulan lalu, harga bahan api meningkat dengan mendadak daripada sekitar AS$100 kepada hampir AS$240 setong. Setiap kenaikan AS$1 memberi impak kira-kira RM50 juta kepada kos operasi kumpulan.
“Dalam masa sama, penutupan ruang udara dan lapangan terbang di beberapa negara di rantau itu turut memaksa syarikat menggantung atau membatalkan penerbangan ke destinasi tertentu seperti Doha yang memberi kesan kepada operasi dan hasil,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, permintaan terhadap perjalanan udara kekal kukuh dengan beberapa laluan mencatat faktor muatan sehingga 90 peratus.
“Kami terus menyesuaikan rangkaian penerbangan bagi meminimumkan impak. Susulan itu, MAG tidak merancang untuk mengurangkan kapasiti penerbangan sebaliknya terus menambah kekerapan bagi laluan tertentu sejajar dengan permintaan semasa.
“Kami akan terus menilai permintaan pasaran dan menyesuaikan kapasiti secara dinamik. Malah, terdapat beberapa sektor yang menunjukkan permintaan tinggi sehingga memerlukan peningkatan frekuensi,” katanya.
Tambah beliau, MAG memperkukuh langkah pengurusan risiko melalui strategi lindung nilai bahan api bagi mengurangkan impak turun naik harga minyak global.
“Kumpulan melindung nilai kira-kira 36 peratus keperluan bahan api pada suku pertama 2026 sebelum meningkat kepada sekitar 50 peratus pada suku kedua.
“Pendekatan ini membantu kami mengawal kos dalam persekitaran harga bahan api yang tidak menentu. Kami akan terus menilai tahap lindung nilai bagi memastikan kestabilan operasi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MAG, Boo Hui Yee berkata, kumpulan melaksanakan strategi lindung nilai jenis ‘collar’ iaitu penetapan julat harga minimum dan maksimum bagi pembelian bahan api.
“Menerusi pendekatan itu, harga bahan api yang dilindung nilai berada dalam julat sekitar AS$60 setong hingga had siling kira-kira AS$80 setong menjelang akhir 2026.
“Julat ini ditetapkan kerana kami melaksanakan lindung nilai secara berterusan sepanjang tahun. Had maksimum adalah sekitar AS$80 setong dan tidak akan melepasi paras tersebut namun masih berpotensi lebih rendah sekiranya harga pasaran menurun,” katanya.



