'Papa nampak usaha, kekuatan Maria Danisha' – Norman

'Papa nampak usaha, kekuatan Maria Danisha' – Norman

Kuala Lumpur : “Papa nampak segala usaha dan kekuatan Maria Danisha sepanjang perjalanan ini,” luah pelakon, Norman Hakim.

Norman berkongsi perasaan terharu dan gembira selepas anak bongsu bersama bekas isteri Abby Abadi iaitu Maria Danisha itu beroleh keputusan membanggakan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan baru-baru ini.

Ujar Norman pencapaian itu adalah simbol kepada usaha gigih dan ketabahan anaknya sepanjang tempoh pembelajaran.

“Tahniah atas keputusan SPM 2025 yang sangat membanggakan. Setiap usaha, termasuk pengorbanan senyap yang mungkin tidak disedari sesiapa, akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

Danisha berjaya meraih gred A bagi tiga mata pelajaran utama iaitu Matematik, Sains dan Sejarah hasil bimbingan platform pendidikan PTTI, sekali gus membuktikan keberkesanan pembelajaran secara digital dalam membantu pelajar mencapai kecemerlangan.

Pelakon drama bersiri Gerak Khas itu turut berkongsi detik mendebarkan ketika menemani anaknya menunggu keputusan diumumkan di hadapan skrin komputer.

Malah Norman menzahirkan penghargaan kepada institusi pendidikan yang membantu membentuk disiplin Maria Danisha termasuk Abedeen Academy serta PTTI Group yang berjaya membantu anaknya mengatasi kelemahan dalam subjek tertentu.

“Terima kasih kerana membantu Maria Danisha menukar subjek yang sebelum ini lemah menjadi kekuatan hingga berjaya meraih A. Itu bukan sesuatu yang mudah dan Papa sangat bangga,” tambahnya lagi.

Norman turut menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap anaknya dan akan sentiasa percaya kepada kemampuan Maria Danisha dalam menempuh fasa seterusnya.

https://www.instagram.com/reel/DWocrSXkl3n/?utm_source=ig_web_copy_link&igsh=NTc4MTIwNjQ2YQ==

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top