Paris: Louis Bielle Biarrey dipilih sebagai pemain terbaik Kejohanan Enam Negara untuk musim kedua berturut-turut, umum penganjur semalam.
Pemain sayap Perancis itu yang sudah menjaringkan 29 try dalam 27 penampilan antarabangsa, turut mencipta rekod apabila menghasilkan sembilan try dalam edisi terbaru Enam Negara yang dimenangi Perancis.
Jumlah itu termasuk empat try dalam kemenangan dramatik 48-46 ke atas England pada perlawanan terakhir kejohanan.
Rekod sebelumnya iaitu lapan try dalam satu kejohanan dikongsi antara Bielle Biarrey (2025), pemain England Cyril Lowe (1914) dan pemain Scotland Ian Smith (1925).
Pemain berusia 22 tahun dari kelab Bordeaux Begles itu juga menjadi satu-satunya pemain yang berjaya mencatat sekurang-kurangnya satu try dalam setiap perlawanan bagi dua edisi Enam Negara terakhir.
Bielle Biarrey mengatasi saingan sengit daripada pemain tengah Itali Tommaso Menoncello, pemain Ireland Stuart McCloskey dan pemain sayap Scotland Kyle Steyn untuk merangkul anugerah berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




