syafil.syazwan@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Pempengaruh media sosial dan pelakon, Ryan Bakery berkongsi khabar duka apabila isterinya, Elyia Ibrahim mengalami keguguran anak kedua pada Ahad lalu.
Ryan atau nama sebenarnya Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 31, memaklumkan pada mulanya mereka menerima berita gembira mengenai kehamilan itu ketika berada di Melaka pada pagi 1 Syawal lalu.
“Kami sebenarnya menerima berita gembira pada pagi Syawal ketika sedang beraya di kampung isteri. Namun begitu, ada juga kisah sedih di sebalik kegembiraan. Isteri saya baru sahaja mengalami keguguran,” katanya.
Ryan berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri FYP, Indigital, Studio Village dan Astra di Damansara, di sini, semalam.
Ryan berkata, isterinya mula mengalami pendarahan setibanya mereka di sebuah klinik di Pahang untuk melakukan pemeriksaan imbasan.
“Selepas pulang ke kampung di Pahang pada hari Ahad lalu, isteri tergerak hati mengajak untuk buat pemeriksaan memandangkan kandungan masih baru. Namun, setibanya di klinik, isteri mula mengalami pendarahan.
“Doktor mencadangkan kami ke hospital kerana tidak dapat melihat apa-apa melalui pemeriksaan awal. Di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh itulah kami menerima keputusan (keguguran) selepas pemeriksaan di wad kecemasan,” katanya.
Menurut Ryan, kandungan isterinya berusia kira-kira sebulan dan kehamilan itu sememangnya tidak dirancang.
Mengulas mengenai keadaan emosi isterinya, Ryan mengakui Elyia masih terkesan dan kadang kala menangis secara tiba-tiba kerana teringat persiapan awal yang dibuat.
“Sebagai lelaki, kita tidak benar-benar dapat memahami apa yang dirasai wanita kerana kandungan itu berada dalam tubuh mereka. Dia lebih merasainya, tambahan pula sudah mula membeli persiapan seperti susu dan asid folik.
“Sebab itu kami tinggal lebih lama di kampung kerana dia bimbang akan bersendirian apabila saya keluar bekerja. Di kampung suasananya lebih meriah dengan kehadiran keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, Ryan bersyukur keadaan isterinya kini semakin stabil dan kesakitan fizikal yang dialami juga sudah berkurangan.
Ryan dan Elyia mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2022 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ryan Ezra yang kini berusia dua tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




