Washington: Setiausaha Pertahanan AS (Ketua Pentagon) Pete Hegseth pada Khamis mengarahkan komander pangkalan tentera membenarkan anggota membawa senjata api milik persendirian semasa tidak bertugas di kawasan di bawah Jabatan Pertahanan di AS, lapor Anadolu Ajansi.
“Pangkalan tentera kami telah bertukar menjadi zon bebas senjata, menyebabkan anggota perkhidmatan kami terdedah kepada bahaya. Hal itu berakhir hari ini,” kata Hegseth pada platform media sosial X sambil berkongsi video beliau menandatangani memorandum itu.
Hegseth berkata adalah “hampir mustahil” untuk anggota mendapat kebenaran untuk membawa dan menyimpan senjata peribadi mereka sendiri.
Memo itu mengarahkan komander untuk meluluskan permintaan melainkan terdapat alasan yang jelas untuk penafian, yang mesti diberikan secara bertulis dengan justifikasi terperinci.
Ia juga mengarahkan pegawai untuk menggunakan “akal fikiran” dalam proses penilaian selaras dengan undang-undang sedia ada, termasuk peruntukan dalam Akta Kebenaran Pertahanan Negara.
Dasar itu juga terpakai pada kakitangan yang bekerja di Pentagon, iaitu Agensi Perlindungan Pasukan Pentagon akan menilai permohonan membawa senjata api di bawah anggapan kelulusan yang sama.
Bagaimanapun, memo itu tidak membenarkan membawa senjata api di dalam bangunan Pentagon dan menyatakan bahawa Agensi Perlindungan Pasukan Pentagon mesti membenarkan pertimbangan yang adil untuk kakitangan Pentagon “menyimpan senjata api milik persendirian di dalam kenderaan di Pentagon Rerservation.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




