am@hmetro.com.my
Shah Alam: Balu dan tiga anak kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dirempuh pemandu di bawah pengaruh dadah di Jalan Raya Barat, Klang Ahad lalu, layak menerima Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata, hasil semakan pihaknya mendapati Amirul Hafiz yang juga pekerja di TVH Malaysia Sdn Bhd selama 15 tahun adalah pencarum aktif skim LINDUNG Pekerja, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
“Rekod caruman Allahyarham memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Keilatan, sekali gus melayakkan waris menerima Pencen Penakat sebagai jaminan kewangan berterusan.
“Caruman yang dibuat Allahyarham sebelum ini kini menjadi ‘talian hayat’ buat balunya, Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga anak mereka iaitu Muhammad Aqif Amsyar, sembilan tahun, Muhammad Afif Izz Rayqal, tujuh tahun dan Nur Humaira, dua tahun,” katanya selepas hadir menyantuni serta menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada Nor Nadia di kediamannya di Pangsapuri Ken Rimba, Seksyen 16 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, melalui manfaat Pencen Penakat, Nor Nadia layak menerima bayaran bulanan sepanjang hayat, manakala anak-anak akan menerima bantuan kewangan pendidikan sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama dengan jumlah faedah yang bakal diterima setiap bulan berjumlah RM2,888.17.
“Pencen Penakat ini bahagiannya, isteri tiga perlima, anak-anak masing-masing dua perlima. PERKESO turut menyalurkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 kepada waris yang diserahkan pada hari sama.
“Di samping itu, kita juga akan membantu bila anak-anak ini sudah besar, memerlukan bantuan untuk pinjaman pendidikan. PERKESO akan menyediakan bantuan pinjaman pendidikan untuk faedah pembelajaran anak.
“Kita juga akan melihat dari masa ke semasa jika apa-apa bantuan keperluan saya. Anak-anak ini akan dibantu dari segi pembelajaran dan persekolahan mereka.
“Kehilangan insan tersayang tidak dapat diganti, namun perlindungan sosial yang disediakan PERKESO mampu menjadi benteng penting dalam menjamin kelangsungan hidup waris.
“Caruman yang konsisten adalah asas kepada perlindungan ini, dan dalam kes ini, ia menjadi penyelamat kepada masa depan keluarga Allahyarham,” katanya.
Pada masa sama, Dr. Mohammed Azman menyeru majikan yang masih belum mendaftar agar segera mendaftarkan perusahaan dan mencarum pekerja mereka di bawah LINDUNG Pekerja atau Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) kerana perlindungan yang disediakan adalah jaminan bagi masa depan memandangkan malang tidak berbau.
Selain itu katanya, aspek perlindungan sosial diperkukuh di sektor informal melalui penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang mula berkuat kuasa pada 31 Mac 2026.
“Akta baharu ini secara rasminya memberi perlindungan keselamatan sosial di bawah PERKESO kepada lebih 1.64 juta pekerja sektor gig di Malaysia, sekali gus menjamin pampasan serta kebajikan sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan semasa bekerja,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




