Madani Mart bukan ‘ciplak’ KR1M! Model berbeza, sesen pun kerajaan tak keluarkan modal – Fuziah

Madani Mart bukan ‘ciplak’ KR1M! Model berbeza, sesen pun kerajaan tak keluarkan modal – Fuziah

Kerajaan menafikan Madani Mart yang berkonsep kedai runcit harga rahmah sebagai ‘ciplak’ Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang diperkenalkan pada 2011, menekankan model baharu itu berbeza sepenuhnya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata kerajaan tidak mengeluarkan sebarang modal bagi pembukaan cawangan pertama Madani Mart di Indera Mahkota, Kuantan.

“Tak mungkin ciplak sebab dalam model terdahulu (KR1M), kerajaan keluar modal… kerajaan bayar capex, kerja ubah suai, inventori, beli stok.
“Tapi di sini, kerajaan tak keluar modal, kerajaan satu sen pun tak keluar modal, jadi lainlah modelnya. Ia bukan juga konsep francais kerana kalau francais, ia mengikat 100 peratus, tapi model ini fleksibel,” katanya pada sidang media selepas pelancaran cawangan pertama hari ini.

Artikel lain: Harga barang terkawal, tiada laporan kenaikan mendadak – KPDN

Hari ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, turut meluangkan kira-kira 20 minit meninjau dan merasmikan kedai berkenaan, disertai Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Tambah Fuziah, Madani Mart, dikendalikan Yayasan Madani, mensasarkan pembukaan berperingkat sehingga 640 unit di seluruh negara.

KR1M yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Najib Razak, dilaporkan mengalami kerugian lebih RM100 juta sebelum ditutup sepenuhnya pada 2017 selepas lebih 500 rangkaian dibuka sepanjang enam tahun operasi.

Sumber: Malaysiakini (NS Ramli)

Scroll to Top