Bapa rayu dana pembedahan segera anak elak lumpuh kekal

Bapa rayu dana pembedahan segera anak elak lumpuh kekal

TAIPING: Seorang bapa merayu bantuan orang ramai bagi mengumpul dana untuk membolehkan anak lelakinya menjalani pembedahan segera selepas mengalami kecederaan serius akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut di Parit Gabis Atas, Bagan Serai kelmarin.

Ahmad Fauzi Sa’arani, 56, berkata, anaknya, Muhammad Azmin Ahmad Fauzi, 22, kini berdepan risiko lumpuh sepanjang hayat susulan kecederaan parah di bahagian leher dan saraf tunjang.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 5 petang ketika mangsa dalam perjalanan menaiki motosikal ke rumah rakannya.

“Dalam keadaan hujan lebat dan angin kuat, tiba-tiba sebatang pokok tumbang lalu menghempap anak saya. Kejadian berlaku terlalu pantas dan dia tidak sempat mengelak.

“Saya percaya pokok itu sudah reput dan tidak mampu menahan tiupan angin ribut pada hari kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Hospital Taiping di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan pakar mendapati anaknya mengalami dua keretakan di bahagian leher selain saraf tersepit serta kecederaan pada saraf tunjang yang menyebabkan lumpuh.

“Doktor memaklumkan keadaan ini serius dan memerlukan pembedahan segera. Jika lewat, risiko lumpuh kekal adalah tinggi,” katanya.

Tambahnya, kos rawatan dianggarkan sekitar RM10,000 termasuk pemasangan plat besi bagi menyokong bahagian leher mangsa.

Menurutnya, pembedahan dijangka dilakukan pada minggu hadapan di Hospital Manjung sekiranya dana mencukupi.

Sementara itu, Pengurus Besar MAIPk Zon Utara, Mohd Saufi Ibrahim, ketika dihubungi berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan akan memproses permohonan berkenaan mengikut kelayakan serta prosedur yang ditetapkan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam milik anak perempuannya, Amiratul Balqis Ahmad Fauzi di nombor 08077020473823. – UTUSAN

Scroll to Top