Seremban: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan memanggil kontraktor yang menguruskan bangunan Pasar Besar Seremban susulan kejadian tingkat dua premis tersebut dimasuki air akibat paip tangki pecah awal pagi hari ini.
Datuk Bandar Seremban Datuk Masri Baharuddin berkata, pihaknya dimaklumkan kerosakan berlaku di lokasi sama sehingga menyebabkan kejadian paip pecah berulang.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan menyenaraihitamkan syarikat kontraktor terbabit sekiranya didapati bermasalah.
“Sebaik sahaja kita dapat aduan berkenaan paip pecah saya telah mengarahkan kontraktor terlibat untuk membaikinya segera dan hanya beberapa jam sahaja masalah tersebut telah dipulihkan.
“Bagaimanapun saya sendiri akan memanggil kontraktor itu dalam masa terdekat ini untuk mengetahui lebih lanjut keadaan paip terjejas kerana masalah itu berlaku di tempat yang sama, sepatutnya ia tidak berlaku lagi,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.
Beliau juga berterima kasih kepada individu yang mengambil langkah awal dengan menutup paip utama bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.
Masri berkata sehingga kini pihaknya belum mengetahui berapa kerugian dialami peniaga namun tindakan lanjut akan dilakukan termasuk menyemak lesen perniagaan mereka terlibat.
Hari ini media melaporkan lebih 20 peniaga di pasar tersebut terjejas apabila premis mereka dimasuki air susulan insiden saluran paip tangki pecah yang mengakibatkan tingkat dua bangunan itu dilimpahi air.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong berkata kejadian dilaporkan berlaku pada 2 pagi apabila air daripada tangki melimpah keluar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




