HUJAN salah satu nikmat besar yang ALLAH SWT kurniakan kepada manusia dan tanda rahmat serta kasih sayang-NYA kepada seluruh makhluk.
“Dalam cuaca yang sangat panas kebelakangan ini, kita dapat merasai betapa pentingnya hujan. Justeru, marilah kita merenungkan nikmat hujan ini,” ujar khatib pada permulaan khutbah Jumaat bertajuk Mensyukuri nikmat hujan yang disediakan Jabatan Mufti Perlis dan dibacakan di seluruh negeri itu Jumaat lalu.
Menurut Jabatan Mufti Perlis, nikmat hujan dapat diperhatikan melalui firman ALLAH SWT dalam ayat ke-28 surah asy-Syura: “Dan DIAlah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, serta menyebarkan rahmat-NYA. Dan DIAlah Yang MAHA PELINDUNG lagi MAHA TERPUJI.”
Ujarnya, ayat ini menjelaskan hujan merupakan rahmat daripada ALLAH SWT yang diturunkan pada waktu manusia sangat memerlukannya.
“Ia menunjukkan keluasan kasih sayang ALLAH kepada para hamba-NYA, walaupun mereka berada dalam keadaan hampir berputus asa.

HARGAI nikmat hujan yang dianugerahkan ALLAH SWT kepada kita dan jangan mencelanya.
“Dalam konteks negeri Perlis pada hari ini, cuaca yang terlalu panas dan berpanjangan boleh menyebabkan sumber air berkurangan, tanah menjadi kering dan merekah, tanaman terjejas serta meningkatkan risiko masalah kesihatan seperti strok haba, dehidrasi serius dan keletihan melampau, malah berpotensi mencetuskan kebakaran hutan.
“Justeru, turunnya hujan merupakan nikmat yang sangat besar dan tidak ternilai bagi seluruh makhluk,” jelasnya.
Sambung khatib, sesungguhnya hujan merupakan rahmat dan tanda kasih sayang ALLAH SWT kepada kita semua, namun masih terdapat manusia yang lalai dan tidak mensyukuri nikmat ini.
“Oleh itu, marilah kita mengambil pengajaran tentang hujan berdasarkan petunjuk al-Quran dan as-Sunnah, seterusnya berusaha mengamalkannya dalam kehidupan seharian,” katanya.
Antara pengajaran tentang hujan yang boleh diambil:
1 – Meyakini hujan ialah air yang diberkati daripada ALLAH SWT
Hujan bukan sekadar fenomena alam semata-mata, bahkan ia merupakan pemberian yang menghidupkan bumi, menyuburkan tanaman dan memberi kehidupan kepada seluruh makhluk.
“Tanpa hujan, manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan akan menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.
ALLAH SWT berfirman: “Dan Kami turunkan dari langit air yang diberkati, lalu Kami tumbuhkan dengannya kebun-kebun dan biji-bijian yang dituai.” (Surah Qaf: 9)
Jelasnya, ayat ini menegaskan hujan bukan sekadar titisan air biasa, tetapi merupakan rahmat dan keberkatan daripada ALLAH SWT.
“Dengan turunnya hujan, bumi menjadi subur, tanaman tumbuh dengan baik dan hasil bumi dapat dimanfaatkan oleh manusia serta seluruh makhluk-NYA,” hurainya.
2 – Bersyukur kepada ALLAH SWT atas nikmat hujan
Rasa syukur bukan sekadar dalam jantung hati tetapi juga disertai dengan ucapan dan perbuatan.
Rasulullah SAW apabila turun hujan, baginda mengucapkan suatu doa: “Allahumma soyyiban naafi’a (Ya ALLAH, jadikanlah hujan ini hujan yang bermanfaat).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

AIR merupakan sumber kehidupan. Foto Canva
“Hadis ini memberi pengajaran kita dituntut untuk berdoa dan bersyukur setiap kali turunnya hujan kerana ia rahmat yang boleh membawa kebaikan atau sebaliknya, mengikut kehendak ALLAH SWT,” katanya.
3 – Mengambil peluang berdoa ketika hujan kerana ia waktu mustajab
Dalam Islam, antara kelebihan turunnya hujan ialah ia merupakan waktu yang mustajab untuk berdoa sebagaimana sepotong hadis Rasulullah SAW: “Dua doa yang tidak akan ditolak ialah doa ketika azan dan doa ketika turunnya hujan.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)
Ujarnya, hadis ini mengajarkan turunnya hujan merupakan waktu yang sangat mustajab untuk memohon kepada ALLAH SWT.
“Pada ketika ini, doa-doa hamba yang tulus dan ikhlas akan lebih mudah diterima. Oleh itu, setiap Muslim digalakkan memanfaatkan saat hujan untuk memohon keampunan, rezeki, kesihatan dan segala hajat yang baik,” jelasnya.
4 – Tidak mencela hujan
Janganlah mencela hujan atau mengucapkan kata seolah-olah mempertikaikan kurniaan ALLAH SWT.
“Sebaliknya jika timbul kebimbangan hujan yang turun boleh memudaratkan kehidupan setempat, maka berdoalah agar hujan tersebut menjadi rahmat, membawa kebaikan dan tidak mendatangkan kemudaratan.
“Perbuatan mencela hujan merupakan antara contoh lisan yang boleh mengundang kemurkaan-NYA kerana hujan itu merupakan rahmat.

SALAH satu waktu mustajab doa termasuklah ketika hujan turun. Foto Canva
“Oleh itu, Muslim hendaklah sentiasa menjaga lisan, mensyukuri setiap ketentuan ALLAH dan menjadikan setiap keadaan sebagai peluang untuk meningkatkan keimanan serta meraih keredaaan-NYA,” hurainya lagi.
5 – Menggunakan nikmat hujan dengan sebaik-baiknya
“Kita hendaklah menggunakan hujan dan sumber air dengan bijak serta tidak mensia-siakan atau membazirkannya.
“Antara cara memanfaatkan air hujan adalah dengan menadahnya untuk kegunaan harian seperti menyiram tanaman, membersihkan kawasan sekeliling serta digunakan bagi keperluan yang sesuai tanpa melakukan pembaziran,” ujar khatib sebelum mengakhiri khutbah.



