am@hmetro.com.my
Seremban: Baru lima bulan menarik nafas lega, kira-kira 20 penghuni rumah di Presint 4, Jalan A40, Taman Warisan Puteri, di sini, kembali resah apabila mendapan jalan yang berlaku tiga tahun lalu, berulang kembali.
Malah penduduk mendakwa, kejadian yang mula berlaku semula Oktober tahun lalu itu lebih teruk berbanding sebelum ini dan ia makin merebak saban hari.
Penduduk, Mohd Amran Hamid, 68, berkata, jarak antara pagar rumahnya dengan lokasi mendapan hanyalah sekitar 12 meter sahaja.
“Pada mulanya saya dapati ia hanyalah runtuhan kecil sebelum menjadi lebih buruk setiap kali hujan. Memang kami tidak senang duduk.
“Ada penduduk yang membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Disember lalu sebelum agensi itu datang memasang kanvas bagi menutup bahagian jalan yang mendap,” katanya ketika ditemui.
Tambahnya, sehingga kini belum ada apa-apa tindakan lanjut daripada mana-mana pihak sama kontraktor atau MBS.
“Sebenarnya jalan ini pernah mendap sebelum ini dan sudah dibaiki sepenuhnya. Kira-kira lima bulan selepas siap dibaikpulih, kejadian sama berlaku lagi dan kami dapati ia lebih teruk.
“Selepas dibaiki sebelum ini saya tidak berani letak kereta walaupun hanya di depan rumah. Saya sanggup letak jauh sikit dan ternyata kebimbangan itu berasas,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Penduduk, Ismail Mahat berharap tindakan baik pulih dapat dilakukan segera kerana aduan sudah dibuat kepada MBS pada Disember lalu.
Jelasnya, berdasarkan pengamatannya mendapan berlaku sepanjang kira-kira 80 meter dan hanya kira-kira 12 meter dengan rumah penduduk.
“Saya harap MBS dapat menyiasat kenapa mendapan ini berulang lagi sedangkan pembaikan yang membabitkan kos yang besar sudah dibuat.
Sementara itu, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin berkata, pihaknya sudah berhubung dengan jururunding projek bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




