London: Arsenal bakal turun tanpa penyerang England, Noni Madueke, ketika menentang Southampton dalam aksi suku akhir Piala FA, namun Martin Odegaard dan Jurrien Timber berpeluang kembali memperkuatkan pasukan.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, mengesahkan Madueke mengalami kecederaan lutut ketika tugasan antarabangsa bersama England.
Madueke adalah antara 11 pemain Arsenal yang menarik diri daripada tugasan antarabangsa bulan lalu susulan kecederaan dan pengurusan tahap kecergasan ketika kelab itu memburu gelaran Liga Perdana Inggeris pertama sejak 2004.
“Apabila kami perlu memaklumkan keadaan setiap pemain, kami sentiasa berlaku jujur dan keputusan perubatan perlu dibuat. Itu jelas mengenai kesimpulannya.
“Ia membuatkan kami bangga apabila begitu ramai pemain berada dalam skuad kebangsaan. Pemain sangat mahu beraksi untuk negara mereka. Saya tahu betapa pentingnya perkara itu buat mereka.
“Kami menyokong sepenuhnya dan apabila boleh melakukannya, kami akan lakukannya,” kata Arteta kepada pemberita, hari ini.
Madueke mengalami kecederaan lutut ketika aksi persahabatan England menentang Uruguay, sekali gus menyebabkannya terlepas perlawanan menentang Jepun.
Bagaimanapun, Arteta berkata keadaan pemain itu tidak seteruk kecederaan lutut sebelum ini yang memaksanya berehat selama enam minggu.
Turut tidak dapat menyertai skuad kebangsaan masing-masing ialah Martin Zubimendi, William Saliba, Gabriel Magalhaes, Timber, Leandro Trossard, Eberechi Eze, Bukayo Saka dan c.
Arteta bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar pemain yang akan cergas untuk aksi menentang Southampton ketika Arsenal berusaha melupakan kekalahan kepada Manchester City dalam final Piala Liga bulan lalu dengan sasaran kembali ke Wembley menerusi Piala FA.
“Kami kini berada pada kedudukan di mana kami perlu menurunkan barisan sekuat mungkin untuk memenangi setiap perlawanan.
“Kami hanya dua atau tiga perlawanan lagi untuk melangkah lebih jauh dalam Piala FA dan kami tahu betapa pentingnya pertandingan itu buat kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




