MUSIM kemarau bukan sekadar fenomena alam tetapi juga merupakan ujian daripada ALLAH SWT yang menguji kesabaran, keimanan dan kebijaksanaan manusia dalam menguruskan kehidupan mereka.
Dalam keadaan sumber air semakin berkurangan, tanaman terjejas dan cuaca menjadi ekstrem, Islam menyediakan panduan yang seimbang antara usaha zahir dan penghayatan rohani.
Pendakwah, Ustaz Muhammad Fahmi Rusli berkongsi enam kaedah daripada syarak sekiranya berdepan dengan musim kemarau atau cuaca panas melampau, antaranya:
1 – Istisqa’ atau meminta hujan turun
Menurut Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah, istisqa’ boleh dilakukan dengan dua cara iaitu berdoa di atas mimbar semasa khutbah Jumaat dengan bacaan: “Allahumma aghithna, Allahumma aghithna, Allahumma aghisna, Allahuma asqina, Allahumma asqina, Allahuma asqina.”
Ujarnya, istisqa’ juga boleh dilakukan dengan kaedah solat sunat Istisqa’.

USTAZ MUHAMMAD FAHMI
“Dalam kaedah solat, Rasulullah SAW menetapkan satu hari untuk orang ramai keluar menuju ke musalla atau tanah lapang.
“Kemudian baginda keluar dengan penuh tawaduk, memakai pakaian menzahirkan kerendahan dan penuh kekyusukan sebelum menaiki mimbar.
“Baginda menyampaikan khutbah diikuti doa memohon hujan kepada ALLAH SWT dan kemudiannya baginda turun serta mendirikan solat dua rakaat bersama orang ramai,” jelasnya seperti dinukilkan dalam kitab Zaad al-Ma’ad.
2 – Membaca Qunut Nazilah
Kemarau atau cuaca panas melampau termasuk dalam kategori nazilah (kejadian) yang menimpa umat Islam.
“Justeru, disunatkan juga untuk dibaca Qunut Nazilah bagi tujuan mengangkat ujian ini.
“Menurut Imam An-Nawawi, pendapat yang sahih dan masyhur seperti diputuskan oleh jumhur ulama, sekiranya berlaku kejadian terhadap umat Islam seperti ketakutan, kemarau, wabak, serangan belalang dan seumpamanya, maka dilakukan Qunut Nazilah pada seluruh kejadian tersebut,” jelasnya.
Tambahnya, bacaan doa qunut yang dianjurkan ialah doa yang berkaitan dengan keadaan yang menimpa dan ia meliputi dua teras qunut iaitu permintaan dan pujian.
3 – Sedekah
Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani menukilkan bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz ketika berlakunya musibah pada zamannya, beliau berkata kepada rakyatnya: “Sesiapa yang ada sesuatu harta di sisinya, hendaklah dia bersedakah.”

BERSEDEKAH juga antara amalan yang boleh dilakukan ketika cuaca panas. Foto Canva
Ujar Ustaz Muhammad Fahmi, ini kerana sedekah dapat mengekang dan menghalang bala daripada diri seseorang.
4 – Solat
Khalifah Umar bin Abdul Aziz turut menganjurkan agar rakyatnya mendirikan solat ketika berlakunya wabak dengan mengambil hujah dari ayat ke-14 dan ke-15 surah al-A’la: “Telah berjayalah mereka yang membersihkan diri. Lalu dia menyebut nama Tuhannya dan dia mendirikan solat.”
Ujar Ustaz Muhammad Fahmi, anjuran itu ada sandarannya daripada perbuatan Rasulullah SAW sendiri, Huzaifah Al-Yaman berkata: “Rasulullah SAW apabila berlakunya sesuatu yang mendukacitakan, Baginda akan mendirikan solat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
5 – Membaca 3 doa berikut:
Khalifah Umar bin Abdul Aziz turut menganjurkan rakyatnya untuk membaca beberapa doa berikut:
A – Doa Nabi Adam AS:
– Rabbana zalamna anfusana waillam taghfirlana watarhamna lanakunnanna minal khasirin.(Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami dan sekiranya Engkau tidak mengampunkan serta merahmati kami, nescaya kami akan tergolong dalam kalangan mereka yang rugi). (Surah al-A’raf: 23)

BERDOA di atas mimbar antara dua khutbah Jumaat juga disarankan untuk dilakukan. Foto Canva
B – Doa Nabi Nuh AS:
– Wailla taghfirli watarhamni akum minal khasirin.(Dan jika tidak Engkau ampuni serta rahmati aku, nescaya aku akan tergolong dalam kalangan mereka yang rugi). (Surah Hud: 47)
C – Doa Nabi Yunus AS:
– Lailaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzalimin.(Tiada Tuhan selain ENGKAU. MAHA SUCI ENGKAU, sesungguhnya aku tergolong dalam kalangan mereka yang menzalimi diri sendiri). (Surah al-Anbiya’: 87)
6 – Istighfar
Al-Hassan Al-Basri pernah diadukan permasalahan daripada seorang lelaki tentang kemarau yang berlaku, beliau menjawab: “Hendaklah kamu beristighfar.”
Ujarnya, beliau berpandukan kepada firman ALLAH SWT: “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya DIA MAHA PENGAMPUN. (Sekiranya kamu berbuat demikian), DIA akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu,” (Surah Nuh: 10-11)



