am@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Wang tunai kira-kira RM50,000 yang saya simpan di dalam almari dan bawah tilam hangus dalam kebakaran rumah,” kata seorang mangsa kebakaran rumah membabitkan lapan unit kediaman di Kampung Kedai Buloh, malam tadi.
Syawal Anuar Arifin, 40, yang juga penjual gas memasak berkata, wang itu sepatutnya untuk pembayaran sejumlah tong gas yang ingin dilangsaikan hari ini namun belum sempat dibayar, semuanya sudah hangus.
Katanya lagi, ketika kejadian, dia bersama isteri serta tiga anak tiada di rumah kerana keluar bersiar di pusat bandar sebelum dihubungi sepupunya yang memaklumkan kejadian itu.
“Saya segera pulang ke rumah dan sebaik sampai, alangkah terkejutnya apabila melihat api sedang marak membakar beberapa rumah termasuk rumah pusaka yang didiami kami lima beranak.
“Berlaku juga beberapa letupan dipercayai daripada 30 tong gas kosong yang disimpan dan paling terkilan apabila wang tunai sebanyak RM50,000 yang disimpan turut hangus,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, lapan rumah terbakar dengan lima daripadanya musnah 100 peratus manakala selebihnya 10 peratus.
Seorang saksi, Mohd Faizul Mohd Noor, 40, berkata, dia mengetahui kebakaran itu apabila dihubungi adiknya yang memberitahu kejiranan mereka sedang terbakar.
Dia yang sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah berhampiran berkata, terus pulang ke rumah dan ketika itu hanya dua rumah sahaja yang sedang terbakar.
“Saya bersama adik dan kakak terus membawa keluar dokumen penting kerana bimbang api akan merebak ke rumah dalam masa yang sama turut membantu jiran yang lain menyelamatkan barangan mereka.
“Api marak dengan cepat dan beberapa letupan kuat juga berlaku menyebabkan kami segera keluar menyelamatkan diri ke tempat selamat.
“Walaupun rumah saya dekat jaraknya dengan kediaman jiran lain yang terbakar, Alhamdulillah, berjaya diselamatkan dengan tindakan pantas pihak bomba,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



