Guardiola rela lepaskan Rodri jika tidak gembira

Guardiola rela lepaskan Rodri jika tidak gembira

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan dia tidak akan menghalang mana-mana pemain yang mahu meninggalkan kelab itu, termasuk tonggak tengah, Rodri.

Bagaimanapun, Guardiola mengakui dia berharap pemain Sepanyol itu akan terus kekal bersama The Citizens dalam jangka masa panjang.

Kenyataan itu hadir susulan spekulasi mengaitkan Rodri bakal perpindahan ke Real Madrid selepas pemain berusia 29 tahun itu dilaporkan tidak menolak peluang menyertai gergasi La Liga tersebut.

“Tiada pemain yang akan menolak peluang untuk beraksi bersama Real Madrid.

“Namun, harapan saya adalah untuk melihat Rodri kekal selama mungkin kerana dia merupakan pemain yang luar biasa dan sangat penting kepada pasukan,” katanya.

Rodri menyertai City dari Atletico Madrid pada 2019 telah merekodkan hampir 300 penampilan selain memainkan peranan besar dalam kejayaan kelab itu memenangi pelbagai trofi utama.

Pemenang Ballon d’Or 2024 itu bagaimanapun berdepan musim sukar apabila sering diganggu kecederaan, termasuk di lutut yang menyaksikannya terlepas sebahagian besar saingan musim lalu.

Musim ini, Rodri turut mengalami masalah hamstring, namun masih berjaya membuat 28 penampilan dalam semua kejohanan, termasuk membantu City menjulang Piala Liga selepas menewaskan Arsenal di Wembley.

Dalam pada itu, Guardiola menegaskan keputusan masa depan pemain berkenaan bergantung sepenuhnya kepada individu tersebut.

“Kelab ini lebih besar daripada mana-mana individu. Jika seseorang pemain tidak gembira, pintu sentiasa terbuka untuk mereka pergi,” katanya.

Dia turut mendedahkan pihak pengurusan kelab berhasrat untuk mengekalkan Rodri, namun mengakui situasi itu masih belum pasti.

“Saya tahu pendirian kelab, mereka mahu dia kekal. Tetapi pada akhirnya, keputusan terletak di tangan pemain itu sendiri,” katanya. – AGENSI

 

Scroll to Top