PETALING JAYA: Bahang pertarungan T-Fight All-Stars 2026 semakin memuncak apabila hanya berbaki kira-kira dua minggu sebelum gelanggang Stadium Titiwangsa menjadi saksi aksi berprestij dunia pada 24 April ini.
Tumpuan utama sudah pasti terarah kepada kehadiran ikon Muay Thai dunia, Buakaw Banchamek yang kembali menghangatkan pentas tempur di Malaysia.
Aura legenda berusia 44 tahun itu terus menjadi tarikan luar biasa apabila peminat tempatan tidak sabar menyaksikan kehebatan teknik serta pengalaman luasnya di gelanggang.
Namun, cabaran sebenar menanti apabila Buakaw dijadualkan berdepan wakil China, Mao Gaofeng dalam pertarungan yang dijangka mencuri perhatian ramai.
Walaupun dilihat sebagai pilihan, Buakaw tidak boleh memandang ringan lawannya yang hadir dengan rekod 33 kemenangan termasuk sembilan knockout daripada 45 pertarungan.
Rekod tersebut jelas memberi isyarat bahawa Gaofeng memiliki kredibiliti untuk mencipta kejutan dan menggugat reputasi bekas juara dua kali K1 World Max itu.
Selain aksi tumpuan itu, tujuh lagi pertarungan membabitkan petarung dari pelbagai negara dijangka menyemarakkan lagi suasana kejohanan bertaraf antarabangsa ini yang diasaskan oleh Shamsueffendi Mohammad.
Dalam masa sama, penganjur optimis edisi kali ini bukan sahaja menghiburkan peminat, malah mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama sukan tempur di rantau ini sambil tiket masih boleh didapati secara dalam talian www.ilassotickets.com. – UTUSAN




