'Bumi kelihatan menakjubkan, sangat indah' – Angkasawan Artemis II

'Bumi kelihatan menakjubkan, sangat indah' – Angkasawan Artemis II

Cape Canaveral (Florida): Empat angkasawan dalam misi Artemis II ke bulan telah menghantar balik imej pertama Bumi.

Angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Victor Glover dari kapsul Orion berkata: “Bumi kelihatan menakjubkan dan sangat indah,” lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Glover, bersama rakan sekerjanya dari Amerika Syarikat (AS), Christina Koch dan Reid Wiseman, serta angkasawan Kanada, Jeremy Hansen, merupakan manusia pertama yang melakukan perjalanan ke bulan dalam tempoh lebih 50 tahun.

Mereka berlepas pada Rabu dengan menaiki kapsul Orion menggunakan roket Space Launch System dari pusat angkasa Cape Canaveral di negeri Florida, AS.

Kira-kira 24 jam kemudian, mereka meninggalkan orbit Bumi menggunakan manuver khas.

Sekitar 24 jam berikutnya, mereka telah menempuh kira-kira separuh perjalanan ke bulan.

Sepanjang tempoh ini, angkasawan telah menjalankan pelbagai ujian saintifik dan tugasan latihan.

Artemis II dibangunkan berasaskan pengalaman yang diperoleh daripada misi Artemis I tanpa kru pada 2022.

Kru dijangka menghabiskan kira-kira 10 hari di angkasa lepas di atas kapsul Orion dan mengelilingi bulan sebelum kapsul itu dijangka mendarat di laut setibanya kembali ke Bumi.

Bagi Glover, Koch dan Wiseman, ini adalah penerbangan kedua mereka ke angkasa, manakala bagi Hansen, ia adalah yang pertama.

Koch merupakan wanita pertama dalam misi ke bulan NASA, Glover individu bukan berkulit putih pertama, dan Hansen warga Kanada pertama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top