am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Dua penuntut sebuah institut perguruan di utara tanah air ditemukan lemas selepas kayak yang dinaiki dipukul ombak di kawasan Pantai Merdeka di sini, petang tadi.
Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa dipercayai penuntut lelaki dan perempuan berusia 20-an.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, anggota Balai Polis Tanjung Dawai menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian dua penuntut terbabit hilang ketika berkayak pada jam 6 petang.
Berikutan itu katanya, polis menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut dibantu nelayan tempatan.
“Mayat kedua-dua penuntut itu ditemui kira-kira 7.30 malam sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tindakan lanjut, ” katanya di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya masih dalam siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
Hanyan berkata, setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut namun polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




