WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memecat Peguam Negara AS, Pam Bondi, dalam rombakan terbaharu pentadbirannya, lapor CNN.
Menurut Trump, Bondi akan digantikan sementara oleh Timbalan Peguam Negara, Todd Blanche yang akan memegang jawatan sebagai pemangku.
Dalam kenyataan di platform media sosialnya, Trump memaklumkan Bondi akan beralih ke sektor swasta dan memuji sumbangannya sepanjang berkhidmat.
“Pam Bondi adalah seorang patriot Amerika yang hebat dan sahabat setia. Beliau telah menjalankan tugas dengan cemerlang dalam usaha membanteras jenayah,” katanya.
Bagaimanapun, sumber memaklumkan Trump dilaporkan tidak berpuas hati dengan beberapa aspek pengendalian tugas Bondi, termasuk berkaitan kes melibatkan Jeffrey Epstein serta kegagalan mengambil tindakan terhadap lawan politiknya.
Bondi merupakan pegawai Kabinet kedua yang disingkirkan dalam tempoh beberapa minggu selepas Trump sebelum ini memecat Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem.
Menurut laporan, Trump telah berbincang dengan sekutunya mengenai kemungkinan memecat Bondi dan memaklumkan perkara itu secara langsung kepadanya dalam perbualan yang disifatkan sebagai tegang.
Dalam kenyataan di platform X, Bondi berkata, beliau akan membantu proses peralihan tugas kepada Blanche sebelum beralih ke sektor swasta.
“Memimpin usaha untuk menjadikan Amerika lebih selamat adalah satu penghormatan terbesar dalam hidup saya,” katanya.
Sumber turut memaklumkan Bondi sebelum ini mungkin ditawarkan jawatan lain dalam kerajaan, termasuk sebagai hakim, namun perkembangan terkini menunjukkan beliau akan meninggalkan perkhidmatan awam sepenuhnya.
Sementara itu, Trump dilaporkan sedang mempertimbangkan beberapa calon pengganti tetap, termasuk pentadbir Agensi Perlindungan Alam Sekitar, Lee Zeldin.
Pelantikan baharu bagaimanapun dijangka berdepan proses pengesahan yang mencabar di Senat Amerika Syarikat, susulan sensitiviti politik yang semakin meningkat dalam Jabatan Kehakiman.
Perkembangan ini berlaku ketika Bondi turut berdepan tekanan berhubung pengendalian kes berkaitan Epstein serta siasatan lain yang menjadi perhatian pentadbiran Trump.-Agensi



