redzuan.muharam@hmetro.com.my
Pendang: “Ada orang pernah hina dan pandang rendah dengan persoalkan sampai bila saya nak berniaga rojak di tepi jalan.
“Tapi saya hadap saja malah bersyukur anak dapat keputusan cemerlang walaupun bapanya ini hanya peniaga rojak,” kata Mohamad Zaki Abdul Razak atau dikenali Abah Kie dalam kalangan pelanggan dan pengikut di media sosial.
Mohamad Zaki, 46, mendapat perhatian di TikTok selepas berkongsi videonya bersama isteri, Asmidar Jaafar, 41, meraikan kejayaan anak sulung mereka, Irdina Yasmin, 18, yang mendapat keputusan 9A 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 baru-baru ini.
Sebagai bapa, Mohamad Zaki tentunya gembira dengan kejayaan anaknya itu kerana sedar ia menuntut usaha keras dan banyak pengorbanan.
Pada masa sama, Mohamad Zaki yang menetap di Taman Setia, dekat sini, juga sebak dan bangga dengan anaknya kerana mampu membuktikan dirinya boleh berjaya walaupun bukan datang daripada keluarga senang.
“Bila dapat tahu keputusan anak, saya menangis kerana teringat perjalanan membesarkannya sampai ke tahap ini.
“Anak duduk di asrama yang jaraknya 50 kilometer (km) dari rumah dan pernah tiada duit nak pergi melawatnya. Ada juga pengalaman pergi melawat anak tapi balik rumah poket kosong.
“Disebabkan itu saya menangis waktu teman anak naik pentas untuk ambil sijil tempoh hari. Hilang penat lelah kerja siang malam selama ini dan syukur Allah SWT ‘bayar’ serta beri rezeki dengan cara itu,” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut kisahnya, Mohamad Zaki berkata, sebelum menjadi peniaga, dia pernah melakukan bermacam pekerjaan untuk menyara keluarga.
Katanya, antaranya melakukan dua kerja dalam sehari iaitu sebagai pekerja bahagian pemprosesan ayam pada sebelah siang dan mencuci pinggang di restoran nasi kandar bermula petang sampai lewat malam.
“Selain itu, saya pernah juga kerja jual ikan, jadi buruh dan ambil upah bakar kambing golek sebelum berniaga rojak buah sejak dua tahun lalu.
“Mulanya di rumah saja dan masak kuah pun dengan periuk kecil. Isteri yang banyak membantu dan pernah pinjam duit orang untuk modal permulaan tapi tak banyak.
“Semua kami buat sendiri dan syukur kerana dapat buka gerai bermula Jun tahun lalu, tak sangka sambutan luar biasa hingga ada orang luar datang nak membeli rojak buah serta kuah.
“Cuma saya dengan isteri sibuk daripada pagi sampai ke Maghrib jadi malam baru ada masa dengan anak, itu pun tak lama. Tapi anak terutama Irdina faham walaupun saya dengan isteri pernah tak dapat hadir ke program menjelang SPM di sekolahnya seperti ibu bapa lain kerana kesibukan kerja,” katanya yang membuka gerai setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 10 pagi hingga habis jualan.
Mohamad Zaki berkata, selagi ada kudrat, dia akan terus mengerah keringat bagi mencari rezeki buat keluarga.
Dia juga berharap dua lagi anaknya mengikut jejak langkah Irdina kerana mahu semua zuriatnya berjaya.
“Biarlah apa orang nak cakap atau hina, saya akan terus cari rezeki dengan cara begini.
“Ia kerana saya ada impian iaitu nak buka bengkel kuah rojak bagi mengembangkan lagi perniagaan dan pada masa sama meningkatkan kualiti termasuk daripada segi pembungkusan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




