2 tahun berlalu, Sarah Yasmine tuntut Bella & Didi Astillah tunai janji -“Dah bahagia sekarang kan?”

2 tahun berlalu, Sarah Yasmine tuntut Bella & Didi Astillah tunai janji -“Dah bahagia sekarang kan?”

Wanita yang pernah dikaikan dengan selebriti, Aliff Aziz, Sarah Yasmine tampil menuntut penjelasan daripada dua beradik penyanyi terkenal, Bella Astillah dan Didi Astillah berhubung satu janji yang didakwa masih belum ditunaikan selepas dua tahun berlalu.

Didakwa pernah beri jaminan tertentu

Menerusi hantaran di Threads, Sarah, 26, mempersoalkan tindakan kedua-duanya yang sebelum ini didakwa pernah memberi jaminan tertentu namun sehingga kini belum direalisasikan.

“Saya harap kamu berdua sihat-sihat sahaja. Sekarang pun sudah bahagia, kan? Alhamdulillah.
“Saya cuma ingin bertanya, bila kamu berdua akan menunaikan kata-kata dan janji yang pernah diberikan kepada saya? Sudah dua tahun saya menunggu perkara ini.
“Kalau kamu boleh beritahu ibu saya secara berdepan bahawa saya bukan seorang penyondol, kenapa selama dua tahun ini kamu tidak menyatakannya secara terbuka?,” katanya.

Lama sudah berdiam diri katanya

Dalam masa yang sama, Sarah menjelaskan dia sebelum ini memilih untuk berdiam diri walaupun berdepan pelbagai tekanan termasuk kecaman dan ugutan demi menjaga keadaan serta pihak tertentu.

Walau bagaimanapun, situasi tersebut dikatakan turut memberi kesan kepada anak-anaknya.

“Saya sudah terlalu lama berdiam diri. Saya telan segalanya… kecaman, ugutan, ugutan pemerasan, semuanya demi menjaga keadaan.
“Apa yang saya lakukan bukan hanya untuk kamu berdua, tetapi juga demi kesejahteraan anak-anak kamu. Bagaimana pula dengan anak-anak saya? Apa pula nasib mereka?
“Ejekan semakin menjadi-jadi dan tidak terkawal. Jadi kenapa kamu masih tidak melakukan apa-apa untuk melindungi anak-anak saya?,” ujarnya.

Akan dedah perkara sebenar

Tambah Sarah, sepanjang isu tersebut dia tidak pernah meminta apa-apa selain melindungi nama baik diri dan anak-anaknya, namun tidak menolak kemungkinan akan mendedahkan perkara sebenar sekiranya tiada tindakan diambil.

“Dari awal sampai sekarang, saya tidak pernah meminta apa-apa selain melindungi anak-anak saya dan nama baik saya demi mereka.
“Jadi saya benar-benar ingin tahu, kenapa kamu berdua tidak melakukan perkara yang sama selepas semua yang telah saya lakukan apabila kamu meminta bantuan?
“Saya sudah penat dan muak hidup dalam keadaan begini. Sama ada kamu berdua akhirnya bercakap benar seperti yang kamu katakan kepada ibu saya atau saya sendiri akan mendedahkan perkara sebenar demi masa depan anak-anak saya,” katanya.

Sebelum ini, nama Sarah menjadi perhatian selepas mengaku dirinya sebagai kekasih kepada Aliff Aziz yang juga bekas suami Bella, susulan kontroversi melibatkan pelakon Ruhainies pada Mac 2024.

Sumber: Threads sarahyasmine

Scroll to Top