KWSP tolak tawaran Sunway ambil alih IJM

KWSP tolak tawaran Sunway ambil alih IJM

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menolak tawaran Sunway Bhd untuk mengambil alih kepentingan dalam IJM Corporation Bhd dengan nilai RM11 bilion, kata sumber KWSP yang enggan dinamakan.

KWSP yang merupakan pemegang saham terbesar dalam IJM iaitu sebanyak 20 peratus sebelum ini mengambil pendekatan berkecuali dengan tidak mengundi dalam mesyuarat berkaitan tawaran itu berikutan mempunyai pegangan dalam Sunway dan IJM.

Bahagian Keputusan Undian KWSP pada Mesyuarat Pemegang Saham pada 26 Mac lalu menyatakan bahawa keputusan undian bagi cadangan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk IJM Corp telah direkodkan sebagai ‘berkecuali’.

Menurut rasional yang diberikan, KWSP berkata: “Ia secara sukarela berkecuali daripada mengundi berkaitan pegangan sahamnya dalam Sunway Bhd dan IJM Corp”.

Pada awal bulan ini, Permodalan Nasional Berhad (PNB) selaku pemegang saham kedua terbesar IJM, memutuskan untuk tidak menerima tawaran tersebut bagi pegangan 13.5 peratus miliknya dalam konglomerat berkenaan.

Untuk rekod, Sunway perlu memperoleh pegangan ekuiti sekurang-kurangnya 50 peratus ditambah satu saham dalam IJM bagi membolehkan tawaran pengambilalihan itu berkuat kuasa.

Namun untuk menyahsenarai IJM secara mandatori dan menjadikannya syarikat persendirian, Sunway memerlukan kelulusan 90 peratus pemegang saham, satu ambang yang dilihat sukar dicapai susulan penolakan PNB.

Pada Khamis lalu, Sunway memperoleh kelulusan pemegang sahamnya berhubung cadangan pengambilalihan itu dengan 99.97 peratus undian menyokong semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan.

Pengasas dan Pengerusinya, Tan Sri Sir Dr Jeffrey Cheah berkata, hampir semua pemegang saham yang hadir dalam mesyuarat tersebut mengundi untuk meneruskan tawaran pengambilalihan itu.

“Sunway juga yakin ia dapat menjana nilai lebih tinggi daripada aset IJM Corporation Berhad di bawah entiti gabungan.

“Tawaran itu juga membolehkan pemegang saham IJM terus melabur dalam kumpulan hasil penggabungan melalui saham Sunway, dan pada masa sama menerima 10 peratus daripada pertimbangan secara tunai,” katanya.

Terdahulu, Sunway Berhad membuat tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bagi kesemua 3.51 bilion saham dalam IJM Corporation Berhad pada harga RM3.15 sesaham, dengan tarikh akhir penerimaan ditetapkan pada 6 April.

Setakat ini, tempoh tawaran masih berjalan dan keputusan muktamad daripada pemegang saham utama dijangka menentukan hala tuju urus niaga berprofil tinggi dalam sektor pembinaan dan hartanah itu.

Ringkasan AI

  • KWSP menolak tawaran Sunway Bhd untuk ambil alih IJM Corporation Bhd bernilai RM11 bilion.
  • KWSP berkecuali dalam undian kerana ada pegangan dalam Sunway dan IJM.
  • PNB juga menolak tawaran Sunway untuk ambil alih 13.5 peratus kepentingannya dalam IJM.
  • Sunway memerlukan sokongan pemegang saham 90 peratus untuk menyahsenarai IJM.
  • Sunway mendapat sokongan besar dari pemegang sahamnya untuk meneruskan pengambilalihan.
Scroll to Top