Impian ND Lala bertemu Jamlilul Hayat tercapai

Impian ND Lala bertemu Jamlilul Hayat tercapai

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Sekian lama mencari, penyanyi dan pelakon Datuk ND Lala, 65, gembira dapat bertemu semula dengan sahabat karibnya, penyanyi Jamilul Hayat.

ND Lala atau nama sebenarnya,

Amir Amzah Salleh berkongsi kegembiraannya dapat bertemu dengan adik kepada Datuk Jamal Abdillah itu pada 2 April lalu.

“Sewaktu saya tinggal di luar negara- saya mendapat berita sahabat saya telah meninggal dunia. Saya begitu sedih kerana kami telah bersahabat sejak awal tahun 80’an. Kami sama-sama menyertai pertandingan nyanyian di Kuala Lumpur.

“Kami sama-sama berjuang memburu impian untuk menjadi seorang penyanyi.Kami sama-sama pernah menempuh hidup yang melarat.

“Tidur di kaki-kaki lima, Tidur di masjid itu adalah perkara biasa.Kami memahami apa ertinya perut yang ‘lapar’. Pedihnya Allah sahaja yang mengetahui,” tulisnya.

ND lala turut bercerita bagaimana perasaan mereka apabila tidak dapat makan selama dua, tiga hari kerana tiada wang.

“Sakit, lemah, nak pitam, peluh sejuk. Macam-macam rasa. Hanya meneguk air paip awam untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Dalam keadaan kelaparan yang amat sangat itu – macam-macam bisikan syaitan yang singgah ke telinga ini untuk melakukan perkara-perkara buruk. Ada rasa nak ‘ragut’ untuk dapat duit beli makanan.

“Ada rasa nak ‘mencuri’. Ada yang berjaya dan ada yang tewas di dalam ujian. Kita manusia, tidak sempurna. Demikian permulaan perjalanan menjadi insan seni,” katanya mengimbau kisah lalu.

Bagaikan satu keajaiban, beberapa

bulan lalu terpampang video nyanyian seorang anak muda di media sosial yang membawakan lagu dari album sahabatnya, Jamilul Hayat.

“Berdetik di hati saya. Adakah dia masih hidup? Saya scroll membaca komen-komen netizen. Macam dia masih hidup. Saya Google namanya. Ada keratan media menyatakan bahawa dia sudah meninggal dunia.

“Ada juga berita yang lain mengatakan ‘pernah heboh mengatakan dia sudah meninggal dunia’. Sebenarnya dia membawa diri 20 tahun Tetapi itu berita lama. Berita tahun 2016.

“Saya boleh saja tanya kawan-kawan artis atau Persatuan artis untuk mendapatkan nombor telefon dia. Tetapi saya tak mahu orang menyedari saya mencari dia. Jika dia masih hidup, saya nak buat ‘surprise’,” katanya lagi.

Pencarian ND Lala selama berbulan-bulan akhirnya bertemu jawapan apabila dia mendapat nombor isteri Jamilul Hayat dan akhirnya mereka dipertemukan semula.

“Momen pertemuan ini sangat menyentuh jiwa kami. Allah masih rezeki kan kami untuk sempat bertemu lagi – sebelum Allah ‘jemput’ kami pulang.

“Sempat kami berpelukan melepaskan rindu puluhan tahun. Bercerita dan mengimbau kisah lama kami. Biar anak cucu kami belajar memahami ‘bukan senang untuk mencari sesuap nasi’,” katanya.

Menerusi perkongsiannya, penyanyi lagu Diari YB ini turut menitipkan pesanan kepada pembaca.

“Bukan senang untuk mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak. Seorang ayah sentiasa berfikir dan berusaha. Sering menempuh rasa resah dan bimbang sekiranya usaha tidak menjadi.

“Ayah akan sanggup berbuat apa saja bagi memastikan supaya ada makanan di atas meja untuk anak-anak dan isteri. Biar ayah lapar asal kan anak-anak dan isteri kenyang.

“Hanya orang yang ‘pernah merasa’ dapat merasa kan apa yang kami rasa. Bukan mudah untuk mendidik anak-anak sehingga mereka membesar dan boleh berjaya dan berdikari.

“Semoga anak-anak kami berjaya di dunia dan di akhirat. Itu lah harapan kami . Sebelum Allah jemput kami ‘Pulang ke Negeri Abadi’,” tulisnya.

Untuk rekod, Jamilul ialah bapa kepada Hussain yang tersenarai sebagai antara peserta utama Talk To My Manager 2.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top