am@hmetro.com.my
Jerantut: Impian seorang peneroka FELDA Jengka 24 di sini, untuk menawan puncak tertinggi dunia semakin hampir menjadi kenyataan selepas berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Lobuche East di Nepal, berketinggian 6,119 meter (m), Sabtu lalu.
Syed Abdullah Syed Qasim, 63, atau lebih dikenali sebagai Pak Syed berjaya menawan puncak berkenaan pada 9.47 pagi 10 Oktober lalu, bersama seorang lagi pendaki dari Temerloh, Nor Sirat Abd Aziz, 48.
Kejayaan itu sekali gus menjadi pencapaian ketiganya menawan gunung berketinggian melebihi 6,000 m selepas Island Peak di Nepal (6,189 m) dan Kang Yatse II di India (6,250 m).
Pak Syed berkata, ekspedisi yang dikenali sebagai Misi Persiapan Everest dan Lhotse itu berlangsung dari 29 September hingga 16 Oktober ini, membabitkan dua pendaki Malaysia bersama jurupandu Sherpa dan porter tempatan.
Katanya, cabaran paling getir sepanjang pendakian adalah suhu mencecah bawah negatif 20 darjah Celsius, laluan curam berais serta keadaan oksigen yang semakin nipis.
“Ketika berada pada ketinggian melebihi 5,800 meter, kami berdepan angin kuat dan setiap langkah perlu dilakukan dengan berhati-hati.
“Sebak, syukur dan terharu apabila berjaya sampai ke puncak. Sebagai anak kampung dari FELDA Jengka 24, dapat mengibarkan Jalur Gemilang di ketinggian 6,119 meter adalah kebanggaan besar buat keluarga dan negara,” katanya.
Menurutnya, keseluruhan kos ekspedisi berkenaan berjumlah RM13,000 seorang dan ditanggung sendiri tanpa sebarang tajaan.
Pak Syed berkata, selepas menawan tiga gunung berketinggian melebihi 6,000 m, beliau menyasarkan pendakian Gunung Himlung Himal di Nepal, yang berketinggian 7,126 m, tahun ini.
Katanya, sasaran utama adalah menawan dua puncak berketinggian melebihi 8,000 m iaitu Gunung Everest (8,848 m) dan Gunung Lhotse (8,516 m) pada musim pendakian musim bunga 2027 atau 2028.
“Untuk misi ‘Double Header’ Everest dan Lhotse, saya memerlukan dana kira-kira RM360,000 bagi membiayai keseluruhan ekspedisi dua gunung berkenaan.
“Sehingga kini, belum ada tajaan rasmi diterima walaupun ramai memberikan sokongan moral selepas kisah perjuangan saya disiarkan Harian Metro sebelum ini.
“Saya amat berharap FELDA, Kerajaan Negeri Pahang dan syarikat korporat dapat membantu merealisasikan impian ini.
“Ini bukan untuk saya seorang, tetapi untuk membuktikan anak FELDA juga mampu mengibarkan Jalur Gemilang di puncak tertinggi dunia,” katanya.
Menurutnya, beliau dan Nor Sirat yang juga penjawat awam Negeri Pahang merancang meneruskan kerjasama bagi menjayakan misi Everest dan Lhotse itu.
Pak Syed berkata, usia dan latar belakang sebagai anak kampung bukan penghalang untuk beliau terus mengejar impian selagi dikurniakan kesihatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




