Seorang guru wanita, Sakinah Ismail, 57, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada Selasa atas dua pertuduhan berkaitan insiden melibatkan dua pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas pada April lalu.
Didakwa melakukan perbuatan cuai
Memetik laporan daripada Sinar Harian, tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, Sakinah didakwa melakukan perbuatan cuai sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan di kawasan surau sekolah berkenaan kira-kira jam 1.40 tengah hari pada 12 April lalu.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Foto: Sinar Harian
Cuai mengendalikan kereta Hondo HR-V
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa cuai ketika memandu kereta Honda HR-V sehingga membahayakan nyawa seorang lagi pelajar perempuan Tingkatan Satu di lokasi dan waktu yang sama.
Pertuduhan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hasif Hasan dan Wan Fadhil Fayyadh Wan Mohd Zuhairi.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin. Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon supaya jaminan minimum diberikan atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik, tidak pernah terbabit dengan sebarang kesalahan dan mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang.
“Selain itu anak guam saya juga penerima anugerah guru personaliti terbaik pada tahun lalu di sekolah berkenaan dan akan bersara pada 16 November tahun hadapan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,000 bagi kedua-dua kes dengan seorang penjamin. Tarikh 6 Disember ditetapkan untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar berusia 13 tahun, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika sedang memakai kasut di hadapan surau sekolah berkenaan.
Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)




