Jangan jadikan krisis global alasan naikkan harga rumah

Jangan jadikan krisis global alasan naikkan harga rumah

am@hmetro.com.my

Ipoh: Semua pemain industri sektor pembinaan diharap tidak menjadikan ketegangan krisis di Asia Barat ketika ini sebagai alasan untuk menaikkan harga dalam usaha memastikan harga projek perumahan khususnya rumah mampu milik kekal stabil.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus berusaha gigih memastikan harga rumah mampu milik kekal stabil walaupun berdepan kenaikan kos bahan binaan di pasaran global susulan konflik berkenaan.

Beliau berkata, krisis itu yang membawa malapetaka kepada seluruh dunia termasuk Malaysia tidak patut dijadikan kesempatan untuk menaikkan harga binaan terutamanya apabila kerajaan ketika ini membelanjakan RM4 bilion sebulan bagi subsidi bahan api termasuk untuk kenderaan membawa bahan binaan.

“KPKT menerusi Jabatan Perumahan Negara akan mencari ikhtiar supaya jumlah kos bahan binaan berada dalam keadaan terkawal.

“Sebab itu kita memberikan RM4 bilion subsidi khususnya semua pengangkutan awam termasuk lori yang mengangkut bahan binaan.

“Mereka masih lagi menerima (harga) subsidi setiap hari, yang mana harga bahan api mereka masih lagi jauh lebih rendah.

“Sebab itu berlandaskan kepada semangat kita teguh bersama, saya memohon semua pemain industri supaya sama-sama jangan ambil kesempatan.

“Ini kerana ia krisis dunia yang membawa musibah dan malapetaka kepada seluruh dunia dan sudah tentunya Malaysia tidak akan terkecuali daripada krisis global ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup Program Madani Rakyat (PMR) 2026 Perak di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Dr. M Noor Azman Taib; Pengarah Eksekutif PACU, Pejabat Perdana Menteri, Ahmad Jefry Aziz @ Adnan; dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan), Datuk Nor Sham Rahman.

Terdahulu, Nga ketika berucap berkata kementeriannya memantau rapi agar projek perumahan yang sedang dilaksanakan tidak terjejas atau mengalami kelewatan akibat situasi krisis global berkenaan.

Menurutnya, dalam masa sama Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) terus diperkasa bagi membantu golongan yang tidak mempunyai slip gaji tetap, termasuk pekerja sektor ekonomi gig untuk memiliki rumah pertama.

Katanya, ia termasuk melalui tambahan peruntukan sebanyak RM10 bilion menjadikan keseluruhan RM40 bilion diperuntukkan bagi tujuan jaminan kredit itu seperti diumumkan kerajaan MADANI dalam Belanjawan 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top