Jimat elektrik, rumah selesa

Jimat elektrik, rumah selesa

lizamridzuan@hmetro.com.my

Penggunaan tenaga elektrik yang lebih cekap menjadi keperluan penting bagi isi rumah.

Ramai pengguna tidak sedar bahawa pembaziran berlaku melalui rutin harian yang kelihatan remeh.

Langkah penjimatan sebenarnya boleh dilakukan tanpa menjejaskan keselesaan, asalkan penggunaan diuruskan dengan lebih bijak.

Perubahan paling asas ialah menukar mentol lama kepada lampu LED, yang terbukti lebih tahan lama dan menggunakan tenaga sehingga 75 peratus lebih rendah berbanding mentol konvensional.

Selain itu, memastikan lampu ditutup apabila tidak diperlukan adalah amalan mudah yang memberi impak besar kepada jumlah bil bulanan.

Penyaman udara juga antara peralatan yang paling banyak menyumbang kepada penggunaan elektrik di rumah.

Menetapkan suhu antara 24˚C hingga 26˚C adalah julat sesuai untuk iklim Malaysia dan selain itu, penapis penyaman udara perlu dibersihkan secara berkala kerana unit yang tersumbat memaksa sistem bekerja lebih kuat daripada sepatutnya.

Pengguna juga disarankan memilih pemanas air jenis ‘instant heater’ atau pam haba berbanding model tangki.

Pemanas air tangki lazimnya menggunakan tenaga walaupun tidak digunakan kerana sentiasa perlu mengekalkan suhu air, sekali gus menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik tanpa disedari.

Di dapur, setiap peralatan mempunyai kadar penggunaan tenaga yang berbeza dan untuk pemanasan cepat seperti menghangatkan makanan, ketuhar gelombang mikro lebih jimat berbanding ketuhar.

Manakala penggoreng udara pula sesuai untuk memasak dalam kuantiti kecil tanpa memanaskan ruang besar seperti ketuhar elektrik yang mana pengguna perlu memilih peralatan mengikut keperluan sebenar, bukan sekadar mengikut trend.

Bagi penggunaan mesin basuh, amalkan cucian dengan muatan penuh serta guna air sejuk apabila sesuai.

Kitaran air panas memerlukan tenaga yang jauh lebih tinggi dan jika mesin basuh dilengkapi mod ‘eco’, ia wajar digunakan untuk mendapatkan kecekapan maksimum.

Peti sejuk yang beroperasi 24 jam sehari memerlukan perhatian khusus terhadap kecekapan tenaga dan pastikan pintu ditutup rapat, tidak dibuka terlalu lama dan susunan dalamannya teratur untuk melancarkan aliran udara.

Makanan panas tidak wajar dimasukkan terus dalam peti sejuk kerana ia menyebabkan ‘compressor’ bekerja lebih keras.

Peralatan elektronik yang ditinggalkan dalam mod ‘standby’ seperti televisyen, komputer dan pengecas tetap menggunakan tenaga walaupun tidak sedang beroperasi.

Pengguna dinasihati menggunakan soket sambungan dengan suis bagi memudahkan semua peralatan ditutup sepenuhnya dengan satu tindakan sahaja.

Untuk peralatan rumah yang telah digunakan lebih daripada lapan hingga 10 tahun, pertimbangkan untuk menaik taraf kepada model ‘5-Star’ berlabel kecekapan tenaga.

Peralatan moden direka dengan teknologi yang lebih efisien dan mampu mengurangkan penggunaan elektrik secara signifikan dalam jangka panjang walaupun kos permulaannya lebih tinggi.

Sebagai langkah tambahan, pengguna boleh melakukan audit ringkas setiap bulan bagi memeriksa keadaan peralatan, suhu penyaman udara, tahap kebersihan penapis serta penggunaan yang tidak perlu.

Penjimatan elektrik bukan sekadar bergantung pada teknologi baharu, tetapi lebih kepada disiplin penggunaan harian yang konsisten.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top