MALAYSIA dijangka berada dalam kedudukan relatif kukuh sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun pertama berdepan ketidaktentuan pasaran tenaga global, didorong kelebihan sebagai pengeksport tenaga serta keupayaan dasar kerajaan menstabilkan ekonomi domestik.
Daya tahan tersebut bagaimanapun bersifat dinamik dan sangat bergantung kepada tempoh krisis yang berlarutan.
Profesor Ekonomi, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Law Siong Hook berkata, lonjakan harga minyak dan gas di pasaran global secara langsung memberi limpahan positif kepada hasil negara, sekali gus menyediakan ruang fiskal kepada kerajaan untuk mengekang tekanan inflasi dan menyokong aktiviti ekonomi.

Siong Hook
Menurutnya, faktor tersebut menjadikan Malaysia antara ekonomi yang lebih stabil di Asia ketika negara lain berdepan tekanan kos tenaga yang lebih tinggi tanpa kelebihan sebagai pengeksport.
“Dalam jangka pendek (0 hingga 2 tahun), Malaysia dijangka berada dalam kedudukan yang baik kerana manfaat daripada peningkatan harga tenaga serta keupayaan kerajaan mengawal inflasi melalui dasar fiskal.
“Dalam tempoh ini, Malaysia bukan sahaja mampu bertahan, malah berpotensi mendapat kelebihan ekonomi,” katanya kepada Sinar Bisnes.
Terdahulu, konflik berterusan di Asia Barat membangkitkan kebimbangan yang meluas di kebanyakan pasaran Asia, namun Malaysia dan China di sebut sebagai negara ‘terkecuali’.
Terdapat beberapa faktor yang bertindak sebagai penampan ekonomi Malaysia untuk mengurangkan kebimbangan berkenaan.
Menerusi wawancara dengan Stesen Media CNBC, Ketua JP Morgan bagi Asia merangkap Ketua Bersama Strategi Ekuiti Pasaran Pesat Membangun Global Rajiv Batra berkata, Malaysia dan China dilihat sebagai ekonomi berdaya tahan di Asia dalam persekitaran ketidaktentuan pasaran tenaga global yang semakin meningkat, ketika kebanyakan ekonomi di rantau ini dilihat lebih terdedah kepada kejutan tenaga.
Mengulas perkara tersebut, Siong Hook berkata, kenyataan JP Morgan adalah betul dari segi arah kerana Malaysia lebih berdaya tahan, tetapi tidak kebal sepenuhnya.
Jelas beliau, salah satu faktor utama yang menyokong daya tahan Malaysia ialah statusnya sebagai pengeksport minyak dan gas asli berbanding dengan banyak negara Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan Filipina yang bergantung sepenuhnya kepada import tenaga.
“Malaysia mempunyai sumber tenaga domestik yang membolehkannya mendapat manfaat daripada kenaikan harga global.
“Eksport tenaga menyumbang kepada aliran masuk mata wang asing yang membantu menstabilkan nilai Ringgit Malaysia, bertindak sebagai penampan terhadap ketidaktentuan kewangan,” katanya.
Selain itu, kestabilan makroekonomi Malaysia turut menyumbang kepada daya tahan negara.
Ujar beliau, Malaysia mengekalkan kadar inflasi yang sederhana serta defisit fiskal yang masih dalam kawalan berbanding beberapa negara lain di rantau ini.
“Di samping disokong oleh permintaan domestik yang mampan, khususnya melalui penggunaan swasta dan pelaburan yang kekal berdaya tahan.
“Lebih penting lagi, ekonomi domestik Malaysia menunjukkan tahap ketahanan yang tinggi, didorong oleh permintaan dalam negara yang stabil serta pelaksanaan reformasi struktur oleh kerajaan,” katanya.
Tambah beliau lagi, kelebihan sebagai pengeksport dan kestabilan makro meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia, kerana negara dilihat mempunyai asas ekonomi yang kukuh dan hala tuju dasar yang jelas.
Keyakinan berkenaan penting dalam memastikan aliran pelaburan terus masuk walaupun dalam keadaan ketidaktentuan global.
Batasan dan risiko
Bagaimanapun, beliau mengingatkan kelebihan tersebut bukan bersifat kekal dan berisiko terhakis sekiranya krisis berpanjangan.
“Namun, dalam jangka sederhana (2 hingga 5 tahun), tekanan mula meningkat apabila beban subsidi kerajaan bertambah, kos sara hidup meningkat, dan pertumbuhan ekonomi global menjadi perlahan.
“Keadaan ini boleh mengurangkan daya tahan ekonomi Malaysia secara beransur-ansur,” jelasnya.
Tambah beliau, dalam jangka panjang melebihi lima tahun, ketahanan ekonomi Malaysia berdepan cabaran lebih besar sekiranya berlaku perubahan struktur global, termasuk peralihan kepada tenaga hijau yang berpotensi mengurangkan permintaan terhadap minyak dan gas.
Walaupun Malaysia mempunyai kelebihan tertentu, adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa negara ini kebal sepenuhnya terhadap krisis tenaga.
“Malaysia masih bergantung kepada import bagi produk petroleum tertentu dan terdedah kepada turun naik harga global.
“Kenaikan harga tenaga juga boleh meningkatkan kadar inflasi domestik serta menambah beban subsidi kerajaan, sekali gus memberi tekanan kepada kedudukan fiskal.
Selain itu katanya, kelembapan ekonomi global akibat krisis tenaga boleh menjejaskan permintaan terhadap eksport utama Malaysia seperti barangan elektrik dan elektronik. Oleh itu, daya tahan Malaysia adalah relatif dan bukan mutlak.
Sehubungan itu, tegas beliau, meskipun Malaysia dilihat berdaya tahan dalam tempoh awal krisis, langkah penyesuaian dasar dan transformasi ekonomi kekal penting bagi memastikan kekuatan tersebut tidak bersifat sementara semata-mata.
“Dalam jangka pendek, Malaysia berada dalam kedudukan yang kukuh, tetapi dalam jangka sederhana dan panjang, pelbagai risiko boleh menjejaskan daya tahan tersebut.
“Oleh itu, Malaysia perlu terus memperkukuh reformasi struktur dan mempelbagaikan sumber ekonomi bagi memastikan ketahanan yang lebih mampan dalam menghadapi krisis tenaga pada masa hadapan,” tegasnya.
Ringkasan AI
- Malaysia dijangka berada dalam kedudukan kukuh dalam tempoh dua tahun berikutan kelebihan sebagai pengeksport tenaga.
- Harga minyak dan gas yang tinggi memberi impak positif kepada ekonomi Malaysia dan membantu mengekang inflasi.
- Malaysia mempunyai daya tahan ekonomi kerana mempunyai sumber tenaga domestik dan mengekalkan kestabilan makroekonomi.
- Kestabilan dan kelebihan sebagai pengeksport meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.
- Namun, daya tahan ini boleh terhakis sekiranya krisis berpanjangan dan penyesuaian dasar serta reformasi ekonomi adalah penting.



