Petugas media di Tel Aviv diawasi ‘individu bertopeng’

Petugas media di Tel Aviv diawasi ‘individu bertopeng’

SEORANG wartawan warga India yang kembali dari Israel baru-baru ini mengesahkan sekatan yang dikenakan terhadap liputan media mengenai perang antara Iran dan Israel.

Praj Mohan Singh mendakwa, pihak berkuasa mengawal dengan ketat apa yang boleh dilaporkan oleh petugas media mengenai impak serangan peluru berpandu dilancarkan Teheran.

“Pihak berkuasa Israel sengaja mengunci mulut. Kami tidak dibenarkan melawat rumah mayat di hospital dan apabila berlaku sesuatu insiden, kami pun tidak tahu di mana ia berlaku,” katanya.

Menurut Singh, rejim Zionis juga menghalang wartawan daripada merakamkan kemusnahan yang disebabkan serangan balas Iran dan segala tindak-tanduk mereka diawasi oleh ‘individu bertopeng’.

Tambahnya lagi, banyak perbezaan antara kenyataan rasmi Tel Aviv dan keadaan sebenar di lapangan terutamanya dari segi fakta.

“Misil Iran kadang-kadang mengenai sasaran tanpa siren amaran. Beberapa orang awam turut terkorban walaupun berada di tempat perlindungan. Pihak berkuasa Israel beria-ia memberi jaminan kemudahan tersebut kononnya melindungi mereka,” ujarnya lagi.

Pendedahannya turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet yang percaya kebinasaan di Tel Aviv lebih teruk berbanding apa yang dipaparkan di media.

Ketika ini, terdapat juga sekelompok penduduk Israel yang membantah keras perang yang dilancarkan ke atas Iran menerusi protes terbaharu pada akhir minggu lalu malah mereka menuntut konflik itu dihentikan segera.

Keadaan sebuah kilang yang musnah akibat bedilan yang menyasarkan Petah Tikva di timur Tel Aviv. - Foto AFP

Keadaan sebuah kilang yang musnah akibat bedilan yang menyasarkan Petah Tikva di timur Tel Aviv. – Foto AFP

Tel Aviv ‘terperangkap’

Selama lebih sebulan lalu, gelombang serangan peluru berpandu telah mengaktifkan siren amaran yang mencetuskan panik di seluruh Israel.

Bagi komuniti di Tel Aviv, berlindung di bunker kini sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian mereka. Pengkritik pula melihat keadaan itu sebagai cerminan situasi yang sekian lama dihadapi penduduk Genting Gaza sejak lebih dua tahun lalu.

Cubaan pihak berkuasa mengekang pendedahan realiti sebenar di Israel bagaimanapun tidak berhasil apabila laporan mengenai keadaan itu tetap tersebar kepada komuniti antarabangsa.

Sejak minggu lalu, Tel Aviv dihujani dron dan misil bertubi-tubi dari Iran, Lubnan serta Yemen selepas pejuang Huthi turut bersama-sama melancarkan serangan balas agresif terhadap musuh yang dipercayai telah meragut hampir 30 nyawa sejak 28 Februari lalu.

Israel kini ‘terperangkap’ di tengah-tengah selepas Teheran bersama proksi mereka terus memperhebatkan kempen pengeboman.

Banyak lokasi impak disahkan rangkaian media tempatan, namun perincian mengenainya tidak didedahkan dan hanya menyebut tentang kesan kemusnahannya tidak terlalu ketara.

Demonstran antiperang berhimpun di Dataran HaBima di Tel Aviv sambil melaungkan slogan mengutuk kempen pencerobohan AS bersama Israel ke atas Iran yang telah menghuru-harakan seluruh dunia. - Foto AFP

Demonstran antiperang berhimpun di Dataran HaBima di Tel Aviv sambil melaungkan slogan mengutuk kempen pencerobohan AS bersama Israel ke atas Iran yang telah menghuru-harakan seluruh dunia. – Foto AFP

Pada awal Mac, Tel Aviv ‘bergegar’ selepas sebuah peluru berpandu Iran didakwa menghentam salah satu tempat perlindungan bawah tanah paling rahsia di bandar itu yang dipercayai turut digunakan oleh pemimpin ‘ekstremis’ Israel untuk bersembunyi ketika waktu perang.

Impak serangan tersebut mencetuskan kebakaran dahsyat dan mendapat liputan meluas kerana mendedahkan kelemahan sistem pertahanan Israel yang sering dianggap ‘kebal serta canggih’.

Beberapa rangkaian media asing juga seperti berpihak kepada Israel apabila membuat semakan fakta atas alasan mahu membendung penyebaran berita palsu selepas beberapa laporan mendakwa rejim Tel Aviv cuba menutup hakikat sebenar kebanyakan bandar mereka sudah binasa teruk.

Info

>Ketika perang 12 hari melibatkan AS-Israel dan Iran pada Jun 2025, anggaran kerugian langsung ditanggung Tel Aviv adalah kira-kira AS$12 bilion (RM48.4 bilion).

>Pakar menganggarkan sekiranya perang berlarutan sebulan, ia akan menelan kos kira-kira AS$11.76 bilion (RM47.4 bilion).

>Pada tahun lalu, rejim Tel Aviv telah membelanjakan kira-kira AS$725 juta (RM2.92 bilion) sehari untuk kempen pencerobohan ke atas Iran dan sistem pertahanan bagi menangkis serangan misil serta dron dilancarkan Teheran.

>Sewaktu perang sebelum ini, Israel menghabiskan kira-kira AS$5 bilion (RM20.1 bilion) pada minggu pertama kempen pengeboman ke atas Iran. Laporan The Wall Street Journal mendakwa operasi sistem pertahanan peluru berpandu Iran sahaja menelan kos antara AS$10 juta (RM40.3 juta) dan AS$200 juta (RM806 juta) sehari.

 

 

Scroll to Top