
Tiga individu termasuk isteri mangsa ditahan bagi membantu siasatan. Foto: Agensi
AGRA – Tindakan seorang wanita bersekongkol dengan kekasihnya untuk membunuh suaminya sendiri terbongkar dalam tempoh kurang 24 jam selepas polis menemui petunjuk penting menerusi kod QR pada botol arak di lokasi kejadian.
Memetik laporan India Today, mangsa dikenali sebagai Lokendra, ditemui dalam keadaan mayat separa terbakar di tepi jalan selepas dilaporkan hilang pada 1 April lalu.
Menurut pihak berkuasa, satu laporan polis dibuat oleh adik lelaki mangsa yang mendakwa pembunuhan tersebut merupakan hasil konspirasi antara kakak iparnya dan seorang lelaki dikenali sebagai Mahesh.
Menurut polis, lima pasukan khas segera ditubuhkan bagi menyelesaikan kes berkenaan.
Siasatan di lokasi kejadian menemukan sebotol arak kosong yang kemudian menjadi petunjuk utama.
Kod QR pada botol tersebut berjaya menjejaki kedai tempat ia dibeli sebelum rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis itu diperiksa.
Rakaman menunjukkan mangsa hadir ke kedai berkenaan bersama Mahesh dan seorang lagi suspek, Dharamveer.
Kedua-duanya kemudian ditahan selepas penglibatan mereka dikenal pasti.
Hasil soal siasat mendapati Lokendra sebelum ini mengetahui hubungan sulit antara isterinya dengan Mahesh, malah membantah keras serta mendedahkannya kepada keluarga dan jiran.
Bagaimanapun, hubungan terlarang itu diteruskan secara rahsia sebelum wanita berkenaan didakwa merancang pembunuhan suaminya.
Mahesh kemudian mendapatkan bantuan rakannya, Dharamveer, untuk melaksanakan rancangan tersebut.
Mereka dipercayai memperdaya mangsa dengan mengajaknya minum arak.
Ketiga-tiga mereka pergi ke kawasan lapang sebelum minum bersama dan tidak lama kemudian, Mahesh dan Dharamveer didakwa mencekik mangsa hingga mati sebelum membakar mayatnya bagi menghapuskan bukti.
Mayat mangsa dikenal pasti melalui tatu pada tubuhnya, manakala ketiga-tiga suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut. – Agensi



