NEW YORK – Tindakan Iran menembak jatuh pesawat perang Amerika Syarikat (AS) disifatkan sebagai antara serangan langsung paling jarang berlaku terhadap tentera negara itu dalam tempoh lebih dua dekad, menurut laporan media AS.
Laporan Associated Press memetik bekas Jeneral Tentera Udara AS dan juruterbang pesawat pejuang F-16, Houston Cantwell sebagai berkata, kali terakhir pesawat perang AS ditembak jatuh dalam pertempuran adalah melibatkan pesawat A-10 Thunderbolt II semasa Pencerobohan Iraq 2003.
Menurut beliau, tentera AS telah menjalankan misi tempur di Iran sejak lima minggu lalu, dengan jet dan dron penceroboh mereka “ditembak hampir setiap hari”.
Pada Jumaat, Iran dilaporkan menembak jatuh pesawat pejuang F-15E Strike Eagle milik AS, menyebabkan dua juruterbangnya hilang.
Sementara itu, Behnam Ben Taleblu, pengarah kanan program Iran di Foundation for Defense of Democracies berkata, kemungkinan pesawat itu ditembak menggunakan peluru berpandu darat ke udara.
Namun, beliau turut berpandangan bahawa senjata mudah alih yang dilancarkan dari bahu (shoulder-fired missile) lebih berkemungkinan digunakan dalam insiden tersebut.
Dalam perkembangan sama, sebuah pesawat serangan A-10 milik AS turut terhempas selepas terkena serangan Angkatan Tentera Iran.
Tentera Iran juga dilaporkan berjaya menembak jatuh dua helikopter Black Hawk serta sebuah pesawat pengangkut C-130 pada awal pagi Ahad.
Menurut Markas Pusat Khatam al-Anbiya, objek udara musuh itu diserang ketika menjalankan misi terdesak untuk menyelamatkan juruterbang pesawat F-15 berkenaan.
Dalam kenyataan berasingan, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengesahkan pihaknya telah memusnahkan beberapa pesawat perang AS yang terlibat dalam operasi menyelamat tersebut.
IRGC turut menyifatkan tindakan itu sebagai satu lagi “kekalahan memalukan” kepada AS.
Bagaimanapun, Presiden AS, Donald Trump, dalam satu hantaran di media sosial memaklumkan bahawa tenteranya berjaya menyelamatkan juruterbang terbabit, sehari selepas seorang lagi juruterbang diselamatkan.
Dilaporkan, dua pesawat yang digunakan dalam misi tersebut dan kemudiannya dimusnahkan oleh IRGC masing-masing bernilai lebih AS$100 juta (RM kira-kira 403 juta).
Selain itu, Angkatan Tentera Iran turut menembak jatuh dua dron penceroboh termasuk model MQ-9 dan Hermes-900 di wilayah Isfahan pada Ahad.-Agensi



