Apabila NASA melancarkan misi ke Bulan, ia sering dilihat sebagai kejayaan sains, kejuruteraan dan cita-cita negara. Roket terangkat, lintasan dikira, dan manusia sekali lagi melangkah keluar daripada batas dunia.
Namun di sebalik segala itu, terselit satu persoalan yang lebih halus tetapi mendalam: Apakah maknanya, bagi manusia, untuk kembali ke Bulan?
Di luar komuniti angkasa dan liputan media global, masyarakat acuh tak acuh tentang misi-misi ini. Bulan, yang dahulu menjadi lambang keajaiban, kini bersaing dengan realiti kehidupan yang lebih mendesak di bumi. Namun sejarah mengingatkan kita bahawa setiap lonjakan besar dalam sains juga merupakan lonjakan dalam imaginasi.
Jauh sebelum wujudnya kapal angkasa, Bulan telah lama hidup dalam penceritaan dan impian kita.
Dalam Alam Melayu, ia bersinar dalam pantun dan hikayat – menjadi saksi kepada rindu dan takdir. Di seluruh tamadun, ia melambangkan jarak dan harapan, kitaran dan keabadian.
Bulan bukan sesuatu yang asing bagi kita.
Yang baharu adalah cara kita kembali kepadanya.
Misi Artemis II – sebuah penerbangan lintas Bulan selama 10 hari menggunakan roket Space Launch System (SLS) dan kapal angkasa Orion menandakan perjalanan berhuni manusia mengelilingi Bulan pertama sejak tahun 1972.
Namun, ia juga sesuatu yang jauh lebih simbolik.
Kerana kali ini, kita tidak pergi sendirian.
Di dalam Artemis II, terselit satu elemen yang luar biasa: arkib puisi. Melalui projek #LunarCodex yang diilhamkan oleh Samuel Peralta, dari Kanada, kreativiti manusia menjadi kargo ilmiah CODEX RIGEL, yang menyertai misi ini, menyusuli arkib terdahulu seperti CODEX ORION yang dilancarkan bersama Artemis I.
Di dalam arkib LUNAR CODEX terkandung suara dari seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Ini bukan kebetulan. Ini adalah pilihan terancang.
Ia menandakan satu perubahan halus tetapi besar dalam makna penerokaan. Angkasa bukan lagi sekadar wilayah sains. Ia kini menjadi ruang bagi sastera, seni dan jati diri.
Bagi kita yang berakar dalam tradisi penceritaan, detik ini membawa makna yang mendalam.
Di Hikayat Fandom, kami melihat ini bukan sekadar misi sains, tetapi kesinambungan sesuatu yang jauh lebih lama. Hikayat, sejak berabad lamanya, menjadi wadah tamadun, menyimpan ilmu, menyulam falsafah, dan membentuk jati diri melalui cerita. Pantun kita telah berkurun rindukan bulan.
Jikalau tidak kerana bintang
Masakan bulan terbit tinggi
Jikalau tidak kerana abang
Masakan datang adek ke-mari
Puisi Ninot Aziz Pesanan Muktamad: Dari Mentari. Purnama. Dan Bintang Kejora diarkibkan di Bulan pada tahun 2025 bersama antologi The Polaris Trilogi.
Kini, dalam cara yang puitis dan belum pernah berlaku sebelum ini, tradisi itu bergerak seiring dengan kembara paling berteknologi tinggi manusia.
Kita sedang menyaksikan peluasan naratif, bukan sekadar merentasi kerajaan atau lautan, tetapi menuju ke kosmos.
Dan ini penting.
Kita hidup dalam zaman yang penuh dengan cabaran: perubahan iklim, hakisan budaya, dan perubahan teknologi yang pantas. Dalam keadaan ini, mudah untuk mempersoalkan relevansi penerokaan angkasa.
Namun misi seperti Artemis II melakukan lebih daripada sekadar meluaskan jarak fizikal kita. Ia meluaskan ruang imaginasi kita.
Ia memaksa kita bertanya:
Apakah cerita yang wajar kita bawa bersama?
Suara siapa yang akan mewakili manusia di luar sana?
Dan apakah makna menjadi manusia, apabila kita tidak lagi terikat kepada satu dunia?
Penyertaan seni dan sastera dalam Artemis II memberikan jawapan yang jelas.
Ia mengingatkan kita pada kata-kata Tun Dr Ismail satu ketika dahulu bahawa kemajuan bukan hanya diukur melalui ekonomi dan sains, malah kekayaan budaya itu juga penting. Walaupun kita bergerak jauh ke hadapan, kita tetap berakar pada cerita yang membentuk kita.
Dalam konteks ini, Bulan bukan lagi sekadar sempadan sains. Ia adalah sempadan budaya dari Timur dan Barat.
Malam Shahdu
Kurun ke 7
床前明月光 Di hadapan katil, ku lihat cahaya,
疑是地上霜 Adakah ianya salji di laman.
举头望明月 Mendongak ku lihat purnama
低头思故乡 Terkedu, teringat kampung halaman
Kehadiran puisi di dalam kapal angkasa bukan sekadar simbolik, ia adalah satu kenyataan penting. Bahawa manusia tidak maju dengan meninggalkan kemanusiaannya, tetapi dengan membawanya bersama.
Dari hikayat Kepulauan Melayu hingga ke arkib digital Lunar Codex, kita melihat satu kesinambungan: keinginan untuk mengingati, membayangkan dan bertahan.
Mungkin dunia masih kelihatan tidak peduli.
Namun ada antara kita yang memerhati, dengan penuh kesedaran.
Kerana kita tahu ini lebih daripada sekadar misi.
Ini adalah detik di mana sains dan sastera bertemu. Di mana roket bukan sahaja membawa manusia, tetapi juga suara. Di mana naluri purba manusia untuk bercerita menemukan tempatnya di antara bulan dan bintang.
Daripada Artemis II ke Orion, dan seterusnya – manusia bukan sekadar meneroka angkasa.
Kita sedang memperluas sempadan sastera dan seni kita.
Ke bulan dan alam semesta di luar sana.
- Ninot Aziz, Petaling Jaya




