Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak menyatakan bahawa sentimen rakyat di negeri teresbut kini cenderung kepada perubahan kerajaan pada pilihan raya akan datang.
Menurut laporan Sinar Harian, Pengerusinya Ahmad Faizal Azumu menegaskan bahawa perasaan sama turut dirasai di seluruh negara, dengan rakyat didakwa mengharapkan Perikatan Nasional (PN) kembali memerintah.
Foto arkib: Astro Awani
Beliau berkata, rasa tidak puas hati itu timbul ekoran beberapa faktor termasuk kerjasama antara parti dalam kerajaan sedia ada yang didakwa tidak disenangi sebahagian pengundi.
“Saya mendapati bahawa golongan rakyat begitu bersedia untuk menukar kerajaan lebih-lebih lagi di negeri Perak ini kerana amat tidak bersetuju terutamanya sekali dengan hubungan rapat di antara UMNO dan DAP dan perkara-perkara yang mereka lakukan melukakan hati terutamanya sekali golongan pengundi Melayu.
“Malah apabila mereka tidak begitu business friendly menyebabkan pengundi-pengundi daripada golongan Tionghua juga telah beralih arah,” katanya ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Negeri Perak bersama Bersatu Bahagian Sungai Siput di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu Sungai Siput pada Ahad.

Sementara itu, Ahmad Faizal menyatakan bahawa PN berpeluang mencipta kejutan sekiranya kerjasama antara parti komponennya diperkukuh menjelang pilihan raya umum akan datang.
Beliau menekankan, kekuatan jentera parti dan sokongan akar umbi akan menjadi faktor utama dalam usaha menawan kembali Perak.
Menurutnya, fokus kini adalah memastikan hubungan antara parti-parti dalam PN kekal rapat dan mantap.
Sumber: Sinar Harian (Saifullah Ahmad)




