mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Saya rasa terharu sehingga namakan anak-anak menggunakan nama saya dan adik-adik saya. Terima kasih kepada peminat ini yang memberi sokongan sangat padu kepada KRU,” kata anggota kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim.
Norman berkata, beliau berharap dengan menggunakan namanya dan adik-beradik ini akan ada hikmah tersendiri.
“Dengan itu orang boleh mengenali mereka, boleh membuka peluang-peluang baru juga untuk mereka secara tidak langsung.
“Kalau hendak bertemu, InsyaAllah saya boleh saya boleh jumpa, tetapi saya rasa sebaiknya biar dengan ada Yusry dengan Edry lah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Menurutnya, kena buat satu sesi bersama mereka juga kerana keluarga terbabut membawa nama sama.
“Ucapan saya pada peminat ni adalah terima kasih kerana sokongan selama ini.
“Ini satu penghormatan besar kepada saya dan adik-adik saya sehingga anak-anak beliau dinamakan menggunakan nama kami.
“Saya berharap anak-anak ini semua akan mencapai kejayaan tersendiri dalam hidup masing-masing,” katanya.
Harian Metro hari ini melaporkan bukan sekadar meminati kumpulan KRU, seorang ibu sanggup membawa minatnya terhadap trio popular itu ke satu tahap yang cukup istimewa apabila menamakan tiga anak lelakinya dengan nama hampir menyerupai anggota kumpulan berkenaan.
Dia yang ingin dikenali sebagai Mila, 53, memilih nama Muhammad Norman Hakim, 29, Muhammad Edry Haqeem, 27, dan Muhammad Yusree Hakeem, 22, sebagai tanda kenangan terhadap kumpulan yang diminatinya sejak zaman sekolah.
Menurutnya, setiap nama itu mempunyai cerita tersendiri dan sengaja diolah dengan tambahan nama di belakang supaya anak-anaknya tidak terlalu kelihatan seperti ‘meniru’ nama anggota KRU selain mempunyai identiti masing-masing.
© New Straits Times Press (M) Bhd




